Isnin, 23 September 2019 | 2:30pm
BARISAN pelakon dan kru Game of Thrones yang diumumkan sebagai Drama Siri Terbaik, Anugerah Emmy Ke-71. Foto EPA

Game of Thrones, Fleabag kuasai Anugerah Emmy 2019

LOS ANGELES: Siri Games of Thrones menutup musim terakhirnya dengan cemerlang apabila diumumkan sebagai Drama Siri Terbaik, manakala siri komedi British, Fleabag mencipta kejutan memenangi Siri Komedi Terbaik pada kemuncak Anugerah Emmy Ke-71, semalam.

Game of Thrones menamatkan musim kelapan dengan meraih 12 trofi keseluruhan, termasuk dua trofi utama pada acara yang berlangsung di Microsoft Theatre itu.

“Terima kasih atas kerja keras semua kru. Anda semua memang hebat,” kata penerbitnya, Dan Weiss.

Sementara itu, Peter Dinklage buat kali keempat memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama) menerusi wataknya sebagai Tyrion Lannister.

Terdahulu, Game of Thrones membawa pulang 10 trofi pada Anugerah Seni Kreatif Emmy, minggu lalu, termasuk kemenangan bagi kategori kesan khas dan kostum.


BARISAN pelakon dan kru siri Fleabag yang memenangi trofi Siri Komedi Terbaik. Foto EPA

Anugerah Emmy 2019 turut mencatat kejutan menerusi kemenangan bintang Fleabag, Phoebe Waller-Bridge sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Komedi), mengetepikan Julia Louis-Dreyfus (Veep).

Fleabag terbitan BBC turut membawa pulang trofi Pengarahan Terbaik. Secara keseluruhan, siri itu memenangi enam trofi.

“Sangat menakjubkan apabila mendapat tahu wanita bermasalah yang penuh dengan kemarahan mampu membawa pulang trofi Emmy,” kata Waller-Bridge.


BILLY Porter diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik (Drama). Foto Reuters

Billy Porter pula melakar sejarah apabila memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) menerusi Pose.

“Saya sangat teruja dan berbangga kerana diberi peluang melihat kejayaan ini,” katanya yang mencecah usia 50 tahun lalu, Sabtu lalu.

Sementara itu, Sandra Oh gagal melakar sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) apabila tewas kepada pelakon siri Eve Killing, Jodie Comer.

Chernobyl terbitan HBO yang berkisar mengenai bencana nuklear pada 1986 turut mencatat kemenangan pada malam itu. - AFP

Berita Harian X