Jumaat, 20 September 2019 | 10:26pm
PENYANYI, (dari kiri) Ernie Zakri, Idayu dan Liza Hanim sewaktu menjayakan latihan malam kemuncak ABPBH 32 di PICC. - NSTP/Saifullizan Tamadi

'Sangat puas hati latihan artis ABPBH 32'

PUTRAJAYA: Pengarah Muzik Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Faizal Uzir, berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan artis yang menyertai sesi latihan acara berkenaan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Faizal atau lebih dikenali sebagai Lok U, masih ada ruang untuk diperbaiki bagi memastikan segmen dinantikan ramai itu berjalan lancar dan sempurna.

"Berdasarkan sesi latihan hari ini, saya sangat berpuas hati. Mereka (artis) mengikut arahan saya untuk melakukan kajian dari segi kerangka muzik yang diberikan. Hasilnya, mereka mampu mengikut melodi yang saya susun untuk sesebuah lagu.

“Contohnya, tiga penyanyi wanita bersuara hebat, Liza Hanim, Idayu dan Ernie Zakri, perlu menyanyikan lagu dendangan asal artis lelaki. Jadi, sudah tentu nada suara mereka berbeza,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seramai sembilan pemuzik akan mengiringi persembahan artis pada malam kemuncak ABPBH 32 yang akan berlangsung di PICC, Ahad ini.

ZIZAN Razak (kiri) dan Ismail Izzani ketika menjayakan latihan malam kemuncak ABPBH 32 di PICC. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Sementara itu, ketiadaan dua pemuzik yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, Kelly dan Aji, memberikan sedikit kesan terhadap dirinya.

"Bayangkan, lebih dua dekad kami bekerjasama. Kami sudah saling memahami cara kerja masing-masing. Mereka berdua juga boleh membaca bahasa tubuh ataupun isyarat saya berikan.

"Walaupun tempat mereka digantikan pemuzik lain, situasinya tidak sama. Walaupun pemuzik lain juga berkemahiran, namun bukan mudah untuk mencipta keserasian," katanya.

Pemain gitar bes terkenal, Ally Rahman @ Wan Kelly Abdul Rahman, meninggal dunia Mei lalu.

Aji atau nama sebenarnya Fauzi Samin, yang juga pemain gitar terkemuka, pula meninggal akibat serangan jantung di sebuah pusat perubatan swasta di Bukit Rimau, Shah Alam, 5 September lalu.

Berita Harian X