Selasa, 27 Ogos 2019 | 1:43am
Umie Aida menjadi 'bidan terjun' dalam teater Malayu-Pawana Isabella yang dipentaskan pada malam keenam di Istana Budaya, malam tadi. - Foto NSTP

Malayu-Pawana Isabella: Umie Aida cemerlang bawa watak bidan terjun

KUALA LUMPUR: Teater Malayu-Pawana Isabella dipentaskan untuk malam keenam di Istana Budaya di sini malam tadi dikejutkan dengan penampilan ‘bidan terjun’ Datin Paduka Umie Aida yang menggantikan Azar Azmi pada saat-saat akhir.

Umie yang juga adik kepada pengarah, Erma Fatima menggantikan Azar yang tiba-tiba jatuh sakit bagi membawa watak Permaisuri Cahya Tishakur.

Akibat perubahan saat-saat akhir itu, waktu pementasan ditangguhkan sehingga jam 9.15 malam bagi membolehkan Umie Aida melakukan persiapan.

Ia diumumkan oleh pengacara majlis yang meminta penonton bersabar, sementara pihak produksi menguruskan persiapan.

Difahamkan Umie Aida diberikan masa beberapa jam untuk persediaan menghayati watak antagonis yang antaranya memerlukannya mengilai bagi menghidupkan watak.

Umie Aida dilihat tidak kekok walaupun sentiasa memegang naskhah skrip menyampaikan dialognya sepanjang persembahan.

Beliau juga tidak mengecewakan, malah menerima tepukan gemuruh penonton sepanjang persembahan kira-kira tiga jam itu.


Pawana Isabella dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 21 Ogos lalu selama 11 hari hingga 31 Ogos. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pawana Isabella menyaksikan gandingan hebat Syafiq Kyle dan Janna Nick sebagai pelakon utama. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pawana Isabella menyaksikan gandingan hebat finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Syafiq Kyle dan Janna Nick sebagai pelakon utama.

Ia turut membariskan Datuk Afdlin Shauki dan Johan Raja Lawak.

Teater itu mengisahkan semangat Permaisuri Isabella yang dilakonkan Janna, termasuk menyamar sebagai rakyat biasa serta untuk menyelamatkan bangsa Malayu di sebuah negara bernama Aksara, diperintah suaminya, Raja Al-Hasiq Ghibran lakonan Syafiq Kyle, seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Teater turut mengisahkan cubaan kaum pendatang di negara itu untuk menguasai ekonomi dan kuasa, tamak haloba pemimpin, pentingkan diri sendiri serta rasuah demi kemewahan.

Ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 21 Ogos lalu selama 11 hari hingga 31 Ogos.

2709 dibaca
Berita Harian X