Sabtu, 24 Ogos 2019 | 4:58pm
KARAKTER Hantu Kak Limah muncul pada siri jelajah ABPBH 32 di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar, Kedah. - NSTP/Aziah Azmee

Hantu Kak Limah gamatkan siri jelajah ABPBH 32

ALOR SETAR: Gimik jelmaan Hantu Kak Limah yang muncul berkain batik dan baju kurung Kedah, lengkap dengan bedak sejuk di muka, menggamatkan acara promosi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 yang berlangsung di Aman Central, di sini, hari ini.

Watak popular daripada filem komedi seram arahan Mamat Khalid itu kelihatan berlegar-legar di kawasan penonton dengan diiringi lagu, Enjit Enjit Semut.

Kehadiran karakter cukup dikenali ramai berkenaan pada acara dikenali sebagai Alha Alfa Mewarnai Siri Jelajah ABPBH 32 itu tentu sahaja mengundang sorakan pengunjung pusat beli-belah terbabit, walaupun tidak kurang yang terkejut dan cuak dengan kemunculannya secara tiba-tiba.

Sebelum beredar dari lokasi berkenaan, sempat juga ‘hantu' terbabit mengusik pengacara majlis, Haiza dan Emcee Fuzz.

Tidak lama kemudian, karakter menyeramkan itu muncul semula di pentas utama bersama pelakon watak berkenaan di layar lebar, Delimawati, yang juga calon Top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

HOS acara, Haiza dan Emcee Fuzz memperkenalkan DJ Lin dan Delimawati kepada peminat pada acara siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar, Kedah. - NSTP/Aziah Azmee

Mengulas pembabitannya dalam siri jelajah promosi terbabit, pelakon yang sudah lebih tiga dekad menceburkan diri dalam dunia seni itu mengakui teruja melihat sambutan diberikan orang ramai kepadanya.

"Saya memang tidak sangka pengaruh watak Hantu Kak Limah cukup besar terhadap penonton. Walaupun sekadar watak hantu, tetapi karakter itulah yang membuatkan saya dikenali dan dipilih sebagai calon Top 5. Dia hantu glamor!

"Melihat penonton dan peminat yang hadir bertepuk tangan, ia membuatkan saya rasa seronok serta teruja. Saya memang menghargai peluang bertemu dengan peminat saya di sini," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, pelakon berusia 61 tahun ini muncul di pentas bersama calon Top 5 kategori Penyampai Radio Popular, DJ Lin, untuk sesi beramah mesra bersama peminat

Selain mereka, siri jelajah berkenaan turut dimeriahkan dengan kemunculan Afieq Shazwan, Ryan Deedat, Atiq Azman, Adam Lee, Insomniacks dan Siti Nordiana.

Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir (enam dari kanan), bersama peserta pertandingan karaoke sempena siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pelbagai aktiviti diadakan sempena acara terbabit termasuk pertandingan karaoke, demonstrasi solekan dan jualan istimewa produk penaja utama, Alha Alfa Cosmetics.

Penaja bersama ABPBH 32, DuitNow, turut membuka gerai bagi menghangatkan kempen undian acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu.

Siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central akan berlangsung sehingga jam 6 petang ini.

Berita Harian X