Sabtu, 13 Oktober 2018 | 4:26pm
PENGARAH Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Dr Yusof Haslam, bersama peserta Bengkel Seni Kreatif 2018 (Penulisan Skrip) Siri 1 anjuran WHAM dengan kerjasama FINAS di Sepang. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
PENGARAH Urusan Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Dr Yusof Haslam, bersama peserta Bengkel Seni Kreatif 2018 (Penulisan Skrip) Siri 1 anjuran WHAM dengan kerjasama FINAS di Sepang. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Wartawan hiburan dalami penulisan kreatif

SEPANG: Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) mengelolakan Bengkel Seni Kreatif bagi memperluaskan pengetahuan pengamal media dalam penulisan skrip, sekali gus meningkatkan profesionalisme sebagai penulis serba boleh.

Presidennya, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, berkata dalam dunia kewartawanan yang serba mencabar, pengamal media perlu pantas mengejar arus globalisasi dengan menggandakan potensi diri.

"Bengkel ini dibuka kepada semua ahli berdaftar WHAM yang berminat mendalami bidang penulisan kreatif, sama ada untuk tujuan profesion kewartawanan atau menggunakan kemahiran itu pada masa depan selaku penulis skrip.

"Dalam gelombang media semasa yang serba pantas, skil dan pengisian bahan bersama beberapa figura berpengalaman dalam industri kreatif diharap membuka dimensi serta menyuntik semangat wartawan hiburan untuk mencabar potensi diri.

"Sebagai permulaan, kira-kira 30 ahli WHAM mendapat pengisian bermanfaat menerusi sesi ceramah dan perbincangan berkumpulan bersama mereka yang pakar dalam bidang masing-masing," katanya selepas pelancaran bengkel terbabit, di sini hari ini.

Majlis pelancaran bengkel dua hari yang berlangsung di Hotel Movenpick KLIA Sepang itu disempurnakan oleh pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Dr Yusof Haslam, yang turut berkongsi kepentingan skrip kepada sesebuah naskhah layar perak.

Antara panel yang berkongsi pengisian dalam bengkel yang diadakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu adalah pensyarah dan penulis skrip popular, Siti Jasmina Ibrahim; aktres yang juga pengacara, Yana Samsudin; dan personaliti media sosial, Khairul Hakimin.

Terdahulu, persatuan yang memayungi wartawan, penulis dan editor hiburan media perdana itu sebelum ini pernah menganjurkan Bengkel Penulisan Berpengaruh.

Berita Harian X