Isnin, 31 Julai 2017 | 12:03am
ACHIK Spin (2012).

Wajibkan penggiat seni mahu dilindungi PERKESO

KUALA LUMPUR: Ketiadaan caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan salah membeli polisi perlindungan insurans menyebabkan penggiat seni tanah air terpaksa menanggung risiko sekiranya berlaku kemalangan.

Penggiat seni termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir dikategorikan sebagai bekerja sendiri tidak diwajibkan mencarum dengan PERKESO sebaliknya, mereka terpaksa membeli polisi insurans bagi melindungi keselamatan diri ketika bekerja.

Bagaimanapun, terma perlindungan yang tidak diketahui menyebabkan golongan itu tersalah beli dan diakui sendiri dua selebriti iaitu komposer Azmeer dan penyanyi, Amir Ukay's apabila mereka terpaksa menanggung sendiri kos rawatan serta perubatan yang tinggi, ekoran masalah berkenaan.

Menurut Azmeer, beliau terpaksa menanggung sendiri kos rawatan kira-kira RM20,000 akibat parah pada muka dan tangan kanannya selepas terbabit kemalangan pada awal tahun 90-an, sekali gus hilang mata pencarian sepanjang berada di hospital.

KOMPOSER Azmeer. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya hanya membeli polisi insurans nyawa dan menyangka semuanya akan dilindungi sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini ke atas diri saya. Tetapi silap kerana mengikut terma, hanya memperuntukkan bayaran ganti rugi jika seseorang itu buta dan putus tangan.

"Saya akui itulah kesilapan saya sehingga sukar untuk membuat tuntutan. Sebab itu saya memohon supaya persatuan penggiat seni atau pihak yang memegang royalti karya seni supaya mencarum sebahagian pendapatan ke dalam PERKESO untuk melindungi kami," katanya kepada BH.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan penggiat seni mencarum dengan PERKESO dan meminta supaya diberi subsidi untuk sebahagian caruman.

"Hari ini saya bernasib baik apabila majikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat caruman PERKESO kerana berkhidmat sebagai pensyarah.

"Pada masa yang sama, saya memohon supaya persatuan penggiat seni atau pihak yang memegang royalti karya seni supaya mencarum sebahagian pendapatan ke dalam PERKESO untuk melindungi kami," katanya.

Beliau berkata, persatuan seni seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mungkin boleh memainkan peranan yang besar dalam merealisasikan perkara ini dengan mencarum ahli mereka hasil daripada yuran yang dibayar.

"Setiap penggiat seni membayar yuran dan mungkin sebahagian yuran itu dibayar untuk caruman PERKESO atau persatuan boleh memohon dana daripada kerajaan bagi menampung sebahagian caruman ahli.

"Dalam pada itu, saya turut mencadangkan agar, sebahagian kecil hasil royalti yang dikutip oleh Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) juga digunakan bagi caruman itu khususnya bagi komposer," katanya.

AMIR Ukays. - Foto Muhammad Sulaiman

Sementara itu, Amir Ukay's yang terbabit dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2000 berkata, ketiadaan kedua-dua perlindungan kesihatan itu membuatkannya terpaksa bergantung dengan surat jaminan (GL) majikan isterinya bagi menampung kos perubatan yang hampir RM25,000 ketika menerima rawatan di hospital swasta.

"Saya tidak terfikir untuk membeli polisi perlindungan insurans dulu kerana beranggapan semua pergerakan kita (artis) ditanggung pihak syarikat rakaman.

"Apabila rakan bertanyakan mengenai insurans dan caruman PERKESO, barulah saya menyedarinya bahawa tidak memilikinya. Sepanjang menerima rawatan, saya kehilangan mata pencarian apabila tidak mampu menyanyi atau memenuhi jemputan," katanya.

Justeru, beliau berharap setiap penggiat seni di negara ini dilindungi skim perlindungan keselamatan sosial pekerjaan kerana golongan ini terdedah kepada bahaya sama ada dalam perjalanan ke tempat kerja, ketika bekerja dan pulang ke rumah.

Selain Azmeer dan Amir, penggiat seni yang terbabit dalam kemalangan ialah Zaiton Sameon (1990), Saari Amri (1996) dan Achik Spin (2012).

KERATAN akhbar kemalangan yang membabitkan Zaiton Sameon pada 1990.

KOMPOSER Saari Amri. - Foto ihsan Facebook Saari Amri

Terpaksa terima CFS

KUALA LUMPUR: Penggiat seni termasuk pekerja di belakang tabir sanggup menerima pekerjaan berdasarkan kontrak untuk perkhidmatan (contract for service - CFS), walaupun menyedari mereka kehilangan pelbagai faedah terutama berkaitan keselamatan sosial pekerjaan.

Khuatir kehilangan sumber pendapatan, mereka dikategorikan sebagai bekerja sendiri itu dikatakan tiada pilihan menerima apa jua tawaran memandangkan ramai pesaing yang lebih hebat serta bersedia mengambil upah jauh lebih murah.

PENGERUSI Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali DJ Dave. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave berkata, atas alasan berkenaan penggiat seni terbabit tidak mampu 'demand' dengan syarikat produksi, asalkan pekerjaan berkenaan dimiliki mereka.

"Biasanya pekerja di belakang tabir seperti jurukamera, juru lampu, jurutera bunyi, pelakon lagak ngeri dan pembantu produksi tidak akan memilih. Yang penting bagi mereka dapat pekerjaan sekali gus upah.

"Namun, kurangnya pengetahuan berkaitan kebajikan, menyebabkan mereka meletakkannya sebagai perkara nombor dua. Apa akan terjadi sekiranya khidmat mereka tidak diperlukan atau syarikat produksi memiliki calon yang lain?

"Justeru, saya meminta penggiat seni ini dapat melakukan sesuatu demi masa depan mereka. Sekurang-kurangnya dapat mencarum sama ada kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) atau Perkeso. Sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pada masa akan datang," katanya kepada BH.

DJ Dave berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), perlu direbut penggiat seni untuk mencarum.

GAMBAR fail, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd Salleh Keruak (tiga kanan) bersama DJ Dave (empat kanan) dan Pengerusi Bumijez Sdn Bhd, Mohd Zainal Khamis (kanan) pada pelancaran Program Khairat YA1M di Seri Kembangan. - Foto NSTP/Rosela Ismail

"Saya difahamkan kita memiliki 61 persatuan berkaitan penggiat seni antaranya Papita, Seniman, Karyawan, Gafim dan sebagainya. Mereka ini memiliki pangkalan data setiap ahlinya dan bertanggungjawab menyebarkan maklumat (Akta 789), yang baik sebegini.

"Kalau boleh semua persatuan ini bergabung dan menemui PERKESO bagi membincangkan caruman untuk penggiat seni. Kita tidak tahu akan nasib pada masa depan, mungkin dengan adanya caruman PERKESO sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan.

"Saya dimaklumkan kadar caruman PERKESO untuk yang bekerja sendiri amat rendah iaitu 1.25 peratus pendapatan bulanan dan saya tidak merasakan satu bebanan kepada artis berbanding faedah yang menanti," katanya.

Beliau berkata, YA1M bukanlah satu persatuan dan tidak mempunyai keahlian seperti kebanyakan persatuan penggiat seni, namun bertanggungjawab sekiranya mengetahui terdapatnya artis ditimpa bencana.

"Apabila kita mengetahui terdapat penggiat seni berusia 30 hingga 60 tahun menerima rawatan di hospital, YA1M akan melawat dan memberi bantuan kewangan mengikut yang ditetapkan. Pada dasarnya YA1M akan memberi tiga kali bantuan kewangan.

"Sehingga kini seramai 900 penggiat seni di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sudah pegawai YA1M melawat serta memberi bantuan.

GAMBAR fail, DJ Dave menyeru penggiat seni menyertai Program Khairat YA1M. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

"Malah, kami turut memberi pencen kepada lima penggiat seni ialah bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit; penyanyi 80an, Norzia Nani; Zainal Rampa dan M Y Shamsudin, manakala Mariani sudah dihentikan pemberian pencen kerana meninggal dunia," katanya.

Katanya, bagi mereka yang mengalami penyakit kronik atau kanser, panel atau pemegang amanah YA1M akan berbincang untuk mencari jalan membantu mereka.

Antara pemegang amanah selain beliau ialah Datuk M Nasir, Datuk Jamaludin Elias (Nash), Datuk Yusuf Haslam, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Mejar Jeneral Khairuddin Abu Bakar, Datuk Nancie Foo, S Kanagarajan dan Colin Lionel Edmonds.

Beliau berkata, bagi meringankan bebanan penggiat seni ini yayasan turut melancarkan badan khairat YA1M di mana mereka dikehendaki membayar RM100 setahun.

"Jika berlakunya kematian waris akan menerima RM3,000; pengurusan jenazah hingga dikebumikan diuruskan pihak yang dilantik YA1M dan simati juga akan dibuat Badhal Haji bagi yang beragama Islam.

GAMBAR fail, Sebahagian ahli YA1M di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang selepas mendengar taklimat kesihatan baru-baru ini. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

"Khairat kematian ini juga turut ditawarkan kepada artis bukan beragama Islam dan faedah juga sama kecuali Badhal Haji," katanya.

Katanya, YA1M juga bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan RTM untuk memberi ruang kepada artis bagi mengadakan persembahan, sekali gus menambahkan pendapatan.

"Peluang sebegini agak terhad dan yayasan berharap artis juga perlu bekerja keras serta kreatif bagi mencari pekerjaan. Ditambah pula keadaan sekarang pekerjaan bukan mencari artis tetapi sebaliknya," katanya.

Info: YA1M

  • 900 penggiat seni menerima bantuan.
  • 5 artis menerima pencen.
Berita Harian X