KUALA LUMPUR: "Saya minta maaf atas kejadian yang berlaku di Jakarta," demikian kenyataan pelakon dan penyanyi sensasi, Meerqeen, 21, atas tindakannya mencium dahi pelakon serta pelawak popular Indonesia, Kiky Saputry ketika berkunjung ke Indonesia hingga dikecam netizen, bulan lalu.
Kesal dengan apa yang berlaku, Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Syameer Shauqeen Shaiful Izam berkata, insiden itu dijadikan iktibar agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.
"Saya tahu kita berada di Malaysia, jadi kena ambil langkah berjaga-jaga. Saya kena sentiasa berwaspada dengan tindak-tanduk saya selepas ini," katanya kepada BH Online.
Meerqeen ditemui pada sidang media drama bersiri, Ash dan Aish secara virtual, sebentar tadi.
Ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan aktor tinggi lampai itu berhubung aksi berani mati selepas sekian lama mengunci mulut.
Mengulas adakah kontroversi mengganggu emosinya, pelakon yang meledak dengan drama rantaian, Melur Untuk Firdaus ini berkata, kesibukan membuatkannya tidak mempunyai masa untuk memikirkan apa yang berlaku.
"Sejujurnya, saya tidak rasa kontroversi ini mengganggu kerana saya ada banyak perkara yang harus diberi tumpuan. Keutamaan saya untuk diri sendiri, keluarga dan kerjaya demi mencapai matlamat apabila memilih kerjaya dalam bidang seni.
"Bila saya fokus kepada semua perkara ini, apa sahaja yang berlaku, saya tak anggap ia sebagai satu gangguan.
"Begitu juga dakwaan mengatakan saya kini sukar memberikan kerjasama. Saya bukanlah seperti didakwa, cuma fokus saya lebih kepada kerja apabila berada di lokasi penggambaran.
"Ini kerana saya mahu menghasilkan yang terbaik pada lakonan. Saya hanya ikut jadual yang diatur syarikat pengurusan," jelas penyanyi lagu Menunggu ini.
Terdahulu, dalam kejadian berasingan, aksi Meerqeen turut menjadi bahan perdebatan di laman sosial apabila membiarkan dirinya dipeluk peminat wanita.