Selasa, 20 September 2022 | 4:03pm
Liza dan beberapa rakan artis tidak ragu-ragu dengan syarikat hartanah itu kerana menghadiri sesi taklimat yang turut disertai dua peguam dengan pihak bank pada 2 Ogos lalu. - Foto IG Liza Abdullah
Liza dan beberapa rakan artis tidak ragu-ragu dengan syarikat hartanah itu kerana menghadiri sesi taklimat yang turut disertai dua peguam dengan pihak bank pada 2 Ogos lalu. - Foto IG Liza Abdullah

Artis nafi ditipu, belum serah dokumen

KUALA LUMPUR: Penggiat seni yang menerima tawaran unit kediaman dengan bayaran harga serendah RM10 oleh sebuah syarikat pemaju hartanah sehingga mencetuskan kontroversi berharap campur tangan aktivis luar tidak menjejaskan impian memiliki rumah sendiri.

Pelakon veteran, Liza Abdullah berkata, dia tidak faham kenapa isu pemilikan rumah bernilai RM10 diperbesar-besarkan, sedangkan penggiat seni tidak ditipu kerana belum menyerahkan sebarang dokumen kepada syarikat berkenaan.

Katanya, dia menghargai usaha aktivis luar ingin membela nasib golongan artis, namun, jika benar ingin berjuang lebih baik mencari jalan bagaimana membantu penggiat seni memiliki rumah.

"Setakat ini, saya tidak nampak sebarang unsur penipuan. Setakat RM10, kenapa boleh kata ia satu penipuan? Jika betul syarikat hartanah ini menipu, tolong kemukakan bukti.

"Kami suka jika aktivis luar mempertahankan nasib kami. Seperti saya katakan, setakat ini saya tidak nampak lagi di mana unsur penipuan, tetapi saya tidak pasti jika pada masa akan datang.

"Jika sentuh soal rumah ini, saya berpegang pada prinsip rezeki. Bagi saya, semua ini Allah yang tentukan.

"Saya juga percaya kepada balasan Allah. Jika tiada rezeki untuk memperoleh rumah ini, saya reda," katanya kepada BH Online.

Tambah Liza, dia dan beberapa rakan artis tidak ragu-ragu dengan syarikat hartanah itu kerana menghadiri sesi taklimat yang

turut disertai dua peguam dengan pihak bank pada 2 Ogos lalu.

Katanya, mereka diberikan penerangan jelas mengenai prosedur memiliki rumah, sekali gus menyebabkannya yakin dengan keikhlasan syarikat hartanah berkenaan untuk membantu penggiat seni.

"Sebagai artis, prosedur untuk memiliki bukanlah mudah, tambahan pula kami tiada slip gaji. Jadi, apabila ada pihak ingin membantu, tentulah saya dan rakan-rakan berbesar hati.

"Kami juga diberikan taklimat, bukannya hari ini bayar RM10, esok dapat rumah. Sebaliknya, kami perlu melalui proses seperti orang lain untuk mendapatkan rumah dengan pelbagai menyediakan dokumen dan sebagainya.

"Mengenai sejarah silam syarikat hartanah ini, saya tidak mahu sentuh. Bagi saya, itu kisah silam, mungkin ini masanya untuk menebus kesilapan," katanya.

Ani berkongsi, bukan senang hendak mendapatkan rumah kerana pendapatan artis tidak tetap dan tiada slip gaji. - Foto IG Ani Mayuni
Ani berkongsi, bukan senang hendak mendapatkan rumah kerana pendapatan artis tidak tetap dan tiada slip gaji. - Foto IG Ani Mayuni

Sama seperti Liza, penyanyi dangdut, Ani Mayuni juga tidak faham kenapa usaha syarikat hartanah itu dipertikaikan, sedangkan mereka belum menyerahkan sebarang dokumen.

Katanya, dia tidak mahu gara-gara ada pihak yang cuba 'berlagak' hero, harapannya dan rakan-rakan artis untuk memiliki rumah sempurna tidak kesampaian.

"Saya tidak mahu disebabkan isu ini diperbesar-besarkan, syarikat hartanah yang sudi membantu penggiat seni memiliki rumah terpaksa menarik diri, sekali gus memusnahkan harapan kami memiliki rumah sendiri.

"Bukan senang hendak mendapatkan rumah kerana pendapatan tidak tetap dan tiada slip gaji. Ini sahaja harapan kami ada. Kenapa bila artis ditawarkan rumah secara percuma, ada pula seolah-olah nak jadi hero?

"Sebelum ini, tiada siapa sudi membantu kami, persatuan pun tak mahu tolong. Tetapi, bila ada skim seperti ini dituduh pula 'scammer', sedangkan kami tidak ditipu dan belum menyerahkan sebarang dokumen," kata Ani.

Ani berkata, dia belum menyerahkan apa-apa dokumen kerana masih mencari lokasi menarik untuk didiami.

"Mungkin ada yang tak tahu, walaupun hanya membayar RM10, tetapi prosedur untuk memiliki rumah bukannya mudah.

"Kami perlu membuat permohonan pinjaman sama seperti orang lain, banyak dokumen perlu disediakan.

"Sekiranya tidak lulus dengan bank pertama, syarikat hartanah ini akan serahkan permohonan ke bank lain. Jika masih tidak layak, barulah syarikat akan menjadi penjamin.

"Jadi janganlah menuduh sebarangan jika tidak tahu apa-apa. Segala-galanya mengikut prosedur, sebab itulah saya tidak ragu. Berkenaan syarikat hartanah didakwa sebagai 'scammer', mungkin itu kisah silam," katanya.

Semalam, aktivis wanita, Mona Din mengadakan sidang media menggesa pihak berkuasa menyiasat tindakan sebuah syarikat hartanah menawarkan kediaman bernilai sehingga RM500,000 secara percuma kepada penggiat seni, sama ada ia benar-benar tawaran tulen atau ada unsur penipuan.

Pada sidang media itu, Mona memaklumkan, beliau mendapat tahu mengenai tawaran unit kediaman secara percuma oleh sebuah syarikat dimiliki individu mendakwa bergelar Datuk Seri.

Dakwanya, syarikat berkenaan turut melantik dua artis wanita veteran, masing-masing penyanyi dan pelakon bagi menyelaras tawaran 1,000 unit kediaman kepada artis veteran dan kru belakang tabir terpilih.

Berita Harian X