KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Liza Abdullah, 58, enggan mengulas gosip konon kembali berumahtangga, kira-kira dua minggu lalu.
Liza yang popular menerusi watak Mak Leha dalam drama rantaian 7 Hari Mencintaiku 3, enggan berkongsi hal peribadi kepada umum.
"Saya sedang hadiri majlis... Hal peribadi minta maaf tiada apa yang perlu dikongsi.
"Lagipun, saya bukanlah muda lagi. Jadi, saya malas berkongsi apa-apa. Pada masa sama, banyak hati perlu saya jaga," katanya yang menolak pertanyaan BH Online secara baik.
Khabar angin pemenang trofi Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu berkahwin terbongkar menerusi program hiburan Melodi siaran TV3, tengah hari tadi.
Diusik apakah benar suaminya kini bergelar usahawan, Liza hanya menjawab:
"Rahsia..."
Liza mendirikan rumah tangga dengan Zolkifly Abdul Rahman pada 1988, namun, mereka membuat keputusan berpisah pada 2014.
Hasil perkongsian hidup selama 26 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata.