Khamis, 24 March 2022 | 11:00am
Anne (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada Suzlynna Mustapha Azahari, iaitu isteri penyanyi popular era 1980-an, Fredo. Foto Ihsan Anne Abdullah
Anne (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada Suzlynna Mustapha Azahari, iaitu isteri penyanyi popular era 1980-an, Fredo. Foto Ihsan Anne Abdullah

Anne lali GTAS dilabel persatuan 'artis sendu'

KUALA LUMPUR: Digerakkan sejak 2014, Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) diasaskan untuk mendorong artis menceburi dunia perniagaan sebagai jaminan masa hadapan.

Biarpun GTAS tampak kurang popular, namun, sejak negara dilanda pandemik COVID-19, persatuan ini aktif melakukan pelbagai aktiviti bagi membantu penggiat seni, terutama artis veteran yang berdepan kesempitan hidup akibat terputus mata pencarian.

Mendekati Presiden GTAS iaitu pelakon, Anne Abdullah, pandangan skeptikal dilemparkan kepada GTAS yang dilabel organisasi menghimpunkan 'artis sendu' tidak pernah menjadi 'kudis' atau membantutkan misi dirancang.

"Ramai yang positif dengan kehadiran GTAS. Namun, pandangan serong masih wujud. Ada yang melihat mereka yang berada dalam kelompok persatuan ini sebagai artis kurang popular dan artis lama.

"Sudah tidak boleh kata apa-apa lagi... Namun, itulah matlamat kita membantu artis terpinggir atau dilupakan. Kebanyakan ahli GTAS dalam kalangan dramatis dan penyanyi 'senior'.

Anne bersama ahli GTAS tidak melupakan artis veteran dengan menghulurkan bantuan diperlukan. Foto Ihsan Anne Abdullah
Anne bersama ahli GTAS tidak melupakan artis veteran dengan menghulurkan bantuan diperlukan. Foto Ihsan Anne Abdullah

"Orang yang tak kuasa dan pandang kami atas dan bawah memang ramai... Biasalah adat kehidupan," katanya kepada BH Online.

Namun, ironinya, kata Anne, kelompok yang memandang sinis GTAS akhirnya menghubungi persatuan setiap kali memerlukan bantuan atau mahu mencari peluang berniaga.

"Merekalah yang hubungi kita bertanya mengenai peruntukan gerai, kiosk atau 'booth' percuma. Benda baik bukan selalu orang suka jika tidak ada kepentingan.

"Kalau terdesak, kita juga dicari. Kita pula tidak sampai hati jika tidak bantu golongan begitu," katanya sambil menambah sepopular mana pun artis, akhirnya pasti melalui zaman suram.

Anne yang popular dengan watak Mak Andak dalam drama 7 Hari Mencintaiku berkata, GTAS yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mempunyai hampir 100 ahli.

GTAS dibarisi anggota exco antaranya Sharifah Shahora, Syanie Hisham, Laila Nasir, Liza Abdullah, Nadia Mustafar, Norazifah Abidin, Ainina Ahmad B, Dilla Ahmad, Farisha Irwayu, Rahim Omar dan Rashid Jaafar.

"GTAS bukan badan kebajikan tetapi mewujudkan peluang untuk selebriti atau artis menjadi usahawan berjaya. Ini direalisasikan melalui peluang berniaga dalam setiap acara atau karnival,

"Apatah lagi menghampiri Ramadan, banyak tender bazar dibuka. Tugas kami adalah mencari tapak atau ruang untuk artis berniaga," katanya.

Anne berkata, GTAS banyak bekerjasama dengan badan kerajaan termasuk kolaborasi dengan pelbagai pihak di Singapura dan Brunei.

"Antara agensi kerajaan yang menjalin kerjasama dengan GTAS adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) dan banyak lagi.

"Sempena Ramadan kali ini, artis GTAS berniaga di AEON Bazaar Raya, Absolute Food Fest, Starvendor dan macam-macam lagi termasuk beberapa pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan Shah Alam," katanya.

Mengenai kehidupan peribadi, Anne mengaku perlu bijak mencari peluang untuk meneruskan survival hidup.

"Biarpun masih diberi kepercayaan berlakon hingga tawaran tidak putus, saya kena cari peluang atau sumber lain untuk teruskan kehidupan," katanya yang mengusahakan syarikat produksi, RD Pictures sejak 2017 dan kafe di Subang Jaya, Selangor.

Anne berkata, syarikat produksinya sudah menghasilkan lebih tujuh projek drama, majalah dan dokumentari.

"Antara judul kandungan diterbitkan adalah Mufariq, Mila Teristimewa, Kanvas Sarawak, Lensa Fabrik, Kayuhan Cinta, Melodi Cinta Sarah dan Panggilan Akhir Tokwan.

"Terbaru, saya terbitkan drama 13 episod, Sut Putih dengan membuka peluang berlakon kepada 80 artis GTAS berlakon," katanya.

Berita Harian X