Khamis, 11 November 2021 | 6:00pm
Masih solo, Shahir mahu lebih fokus pada kerjaya seni yang baru hendak bermula. - NSTP/Aziah Azmee
Masih solo, Shahir mahu lebih fokus pada kerjaya seni yang baru hendak bermula. - NSTP/Aziah Azmee

Shahir nafi kecewa, tak terkejut gosip Erra kahwin

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak mengetahui kesahihan dakwaan bekas kekasih, Erra Fazira menjadi isteri kedua ahli politik, namun, penyanyi Shahir Zawawi tetap mendoakan baik-baik buat insan yang pernah bertakhta di hatinya.

Shahir berkata, sebagai kawan, dia akan tetap menyokong apa sahaja yang boleh memberi kebahagiaan kepada bekas Primadona Filem Melayu itu.

"Saya mendengar berita yang tersebar, tetapi ia bukanlah sesuatu yang salah. Bukannya Erra kena tangkap. Jadi, tidak perlulah terkejut jika ia benar-benar berlaku.

"Apa yang penting, doakan yang baik-baik. Kalau betul jodoh mereka, Alhamdulillah," katanya kepada BH Online.

Diusik pertanyaan adakah kecewa jika benar penyanyi lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara itu sudah menamatkan zaman solo, bekas juara Akademi Fantasia 8 menafikan tanggapan nakal itu.

"Sudah tentu tidak. Rakan yang baik akan mendoakan sahabatnya. Jika ikhlas dengan seseorang, tak kisah sahabat atau rakan, kita patut rasa gembira jika sesuatu yang baik berlaku.

"Tetapi, jika ada rasa sebaliknya bermakna ada sesuatu tidak kena. Jadi, saya hanya doakan baik-baik untuk Erra," ujar penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini.

Shahir ditemui pada majlis sidang media program realiti Hijrahkan Laguku, Journey Back To Him terbitan TV Alhijra, baru-baru ini.

Ini adalah kemunculan pertama Shahir dalam industri hiburan selepas tiga tahun menghilangkan diri dari radar dunia seni.

Awal bulan lalu, industri hiburan kecoh apabila tersebar gosip mendakwa Erra menjadi isteri kepada seorang ahli politik dari Perak.

Kontroversi ini mula bertiup kencang apabila seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan mendakwa Erra sudah menjadi isteri kedua ahli politik itu.

Bagaimanapun, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 47, menerusi Instagram menafikan dakwaan itu.

Shahir mohon keputusannya kembali aktif dalam dunia nyanyian selepas tiga tahun menyepikan diri tidak dikaitkan dengan sesiapa. - NSTP/Aziah Azmee
Shahir mohon keputusannya kembali aktif dalam dunia nyanyian selepas tiga tahun menyepikan diri tidak dikaitkan dengan sesiapa. - NSTP/Aziah Azmee

Menjawab persoalan apakah kemunculan semulanya sebagai mengubat hati berikutan spekulasi perkahwinan Erra, Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi memohon supaya keputusannya kembali aktif dalam dunia nyanyian tidak dikaitkan dengan sesiapa.

"Saya hilang kerana menumpukan perhatian pada bidang perniagaan. Namun, saya tidak nafikan 'gangguan' yang berlaku ketika program AF Megastar pada 2017 menjejaskan fokus saya.

"Saya bukanlah seorang yang boleh berdepan dengan pelbagai perkara dalam satu masa. Kehilangan saya bukanlah kerana suka melarikan diri daripada masalah, tetapi saya tidak suka memanjangkan masalah," tegasnya.

Mengakui masih solo, Shahir berkata, buat masa ini, dia mahu lebih fokus pada kerjaya seni yang baru hendak bermula.

"Saya masih single dan buat masa ini, saya mahu fokus pada kerja. Tetapi, kalau boleh saya tidak mahu hidup sendirian buat selamanya," katanya sambil tertawa.

Pada 2019, Erra mengumumkan hubungannya dengan Shahir sudah pun berakhir.

Tanpa mendedahkan punca perpisahan, Erra berkata, meskipun sudah membawa haluan, namun, mereka masih berkawan.

Berita Harian X