Rabu, 20 Oktober 2021 | 4:46pm

Gosip berbadan dua, Neelofa tak rancang umum apa-apa

PETALING JAYA: Selebriti popular, Neelofa, 32, tidak merancang membuat pengumuman berkaitan spekulasi dirinya berbadan dua, sebaliknya, mengharapkan doa baik-baik daripada semua pihak.

Isteri pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Riz atau Haris Ismail ini berpendapat berita mengenai kelahiran cahaya mata lebih baik dihebahkan, berbanding kehamilan.

"Kalau saya boleh berkongsi mengenai soal kehamilan atau mendapat cahaya mata, kita lebih disarankan bercerita mengenai kelahiran berbanding kehamilan... Itu lebih baik.

"Apa-apa boleh terjadi sepanjang proses (kehamilan) itu. Jadi, itu adalah sebabnya saya lebih suka memohon doa yang baik-baik jika ada orang tanya atau terjumpa saya.

"Saya nak cakap lebih-lebih pun takut. Saya perlukan doa yang baik, kata-kata yang positif. Perkara ini sangat sensitif, ada sesetengah orang anggap ia biasa, orang lain pula sensitif.

"Jadi, siapa yang nampak saya berbeza, berbezalah. Siapa yang nampak saya masih sama, samalah.

Neelofa menjelaskan dia tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai gosip bertebaran bahawa dirinya sedang berbadan dua. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Neelofa menjelaskan dia tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai gosip bertebaran bahawa dirinya sedang berbadan dua. Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Ketika bercuti di Langkawi bersama suami, saya bertemu ramai peminat. Mereka boleh menilai sendiri keadaan saya," katanya ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) dan aplikasi TheNoor di Hotel TH Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Julai lalu, bekas pengacara MeleTOP dilihat kerap memegang dan mengusap bahagian perut pada sesi siaran langsung melalui Instagram (IG) hingga mengundang spekulasi dirinya berbadan dua.

Mengulas sama ada merancang berkongsi berita baik, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menjelaskan, dia tidak berhasrat membuat sebarang pengumuman.

"Saya tiada perancangan membuat apa-apa pengumuman. Apa yang saya boleh katakan, saya amat perlukan doa semua," katanya.

Mengulas mengenai projek THTS dan aplikasi TheNoor, Neelofa berkata, kerjasama itu akan menggalakkan hubungan perniagaan dan menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan halal secara global.

"THTS dan aplikasi TheNoor yang berkonsep gaya hidup Muslim menandatangani MoU untuk menawarkan pelancongan patuh syariah kepada pengguna aplikasi.

"Pengguna TheNoor setakat ini sudah mencapai hampir lima juta orang dalam tempoh sembilan bulan sahaja.

"Melalui perjanjian ini, TheNoor akan menjadi sebuah aplikasi pertama menawarkan pelancongan patuh syariah secara menyeluruh yang disediakan THTS.

"Pengguna aplikasi TheNoor dengan yakin dapat memilih pakej Haji, Umrah dan pelancongan di hujung jari... Semuanya dalam aplikasi ini," katanya

Neelofa menganggap lebih baik berkongsi berita kelahiran berbanding kehamilan sekaligus enggan mengiyakan gosip dirinya berbadan dua. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Neelofa menganggap lebih baik berkongsi berita kelahiran berbanding kehamilan sekaligus enggan mengiyakan gosip dirinya berbadan dua. Foto NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X