Isnin, 18 Oktober 2021 | 3:01pm
Aniq mula meraih perhatian apabila banyak syarikat produksi melamarnya sebagai hero. - Foto IG Aniq Suhair
Aniq mula meraih perhatian apabila banyak syarikat produksi melamarnya sebagai hero. - Foto IG Aniq Suhair

Aniq enggan popular dengan gosip cinta

KUALA LUMPUR: Gosip cinta bertebaran bersama pelakon wanita yang bergandingan dalam drama dilihat salah satu strategi pelakon baharu, Aniq Suhair, 21, untuk mengecapi populariti sepantas kilat.

Namun, Aniq berkata, dia bukannya sengaja mencipta sensasi, sebaliknya apa yang tidak sedikit pun dirancang.

Aniq pernah dikaitkan menjalin hubungan dengan anak jutawan kosmetik Datuk Seri Vida iaitu Cik B apabila bergandingan dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. Kemudiannya, dikaitkan pula dengan Intan Najuwa.

"Saya sebenarnya tidak mengharap atau sengaja mencipta kontroversi. Malah, saya sendiri tidak tahu apa yang saya buat hingga menjadi kontroversi.

"Jujurnya, saya bukan jenis suka mencetuskan gosip sensasi sebagai jalan mudah mencipta populariti. Gosip bersama Cik B terjadi secara kebetulan, di mana saya mendapat watak berkahwin dengannya dalam drama Lelaki Lingkungan Cinta. Ia menyebabkan menjadi bualan ramai.

"Saya akui, gosip cinta ada positif dan negatif. Bagaimanapun, saya tolak perkara negatif, hanya ambil positif sahaja," katanya kepada BH Online.

Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali dengan gosip atau kontroversi murahan.

"Disebabkan itu, saya mahu lebih berhati-hati pada masa hadapan supaya tidak terjebak dengan gosip cinta yang tidak diundang.

"Saya masih baharu dan perlukan masa untuk memerhati permainan dalam industri seni. Namun, saya tidak nafikan, kontroversi sedikit sebanyak menjadikan nama saya mula dikenali.

"Bagaimanapun, untuk saya sengaja mencipta kontroversi, memang tidak! Saya tidak mahu dianggap sebagai artis popular disebabkan cerita negatif. Jika boleh, saya mahu menjadi idola yang mempunyai imej baik.

"Jadi, saya akan lebih berjaga-jaga. Saya tidak mahu tawan hati peminat dengan kontroversi tidak baik," katanya.

Aniq mahu lebih berhati-hati pada masa hadapan supaya tidak lagi terjebak dengan gosip cinta yang tidak diundang. - Foto IG Aniq Suhair
Aniq mahu lebih berhati-hati pada masa hadapan supaya tidak lagi terjebak dengan gosip cinta yang tidak diundang. - Foto IG Aniq Suhair

Baru setahun mencipta nama, pelakon kelahiran Kajang, Selangor itu tidak pernah meletakkan harapan namanya dikenali begitu pantas. Bagaimanapun, bersyukur cubaannya sebagai pelakon amat dihargai.

Ekoran itu, katanya, dia berjanji akan melakukan lebih baik pada masa hadapan dan dapat membanggakan industri kreatif.

"Insya-Allah, saya mahu berusaha menyemarakkan dan membanggakan industri kreatif. Saya mahu menjadi pelakon yang baik di mata semua orang," katanya.

Selain membintangi drama Budak Intern dan Tak Sempurna Mencintaimu, Aniq turut diberi kepercayaan membintangi dua filem, Banglo Seksyen 12 dan Chomel.

Tidak hanya itu, Aniq teruja berkongsi, dia diberi kepercayaan menghidupkan watak hero menerusi drama Hanya Ada Kita

terbitan Awesome TV.

"Ini kali pertama saya diberikan kepercayaan menjayakan watak hero. Alhamdulillah, saya sudah memperoleh kepercayaan dalam tempoh setahun.

"Malah, banyak produksi melamar saya sebagai hero. Insya-Allah, jika tidak bertindih dengan jadual, mengapa tidak? Namun, ada juga watak hero kedua.

"Melihat sokongan dan kepercayaan ini membuatkan saya bersyukur, apatah lagi, tidak putus projek drama yang diterima. Ada antaranya terpaksa ditolak disebabkan jadual penggambaran bertindih," katanya yang turut membintangi drama The Maid musim kedua.

Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Perniagaan (Pemasaran) di City University, Kuala Lumpur itu diperkenalkan menerusi drama Kebaya Kasut Kanvas siaran TV3.

Memulakan kerjaya lakonan selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2019/2020 bersama Nadhir Nasar dan Meerqeen.

Berita Harian X