Jumaat, 1 Oktober 2021 | 1:01pm
Gosip hangat yang sering melingkari hidup Norlida membabitkan soal perkahwinan dengan golongan kenamaan, namun sehingga hari ini, masih hidup sendiri menumpang kasih anak angkat. - Foto NSTP
Gosip hangat yang sering melingkari hidup Norlida membabitkan soal perkahwinan dengan golongan kenamaan, namun sehingga hari ini, masih hidup sendiri menumpang kasih anak angkat. - Foto NSTP

'Gosip kahwin kenamaan lingkari hidup Connie'

KUALA LUMPUR: Memiliki seraut wajah jelita, penampilan seksi dan perwatakan manja, selain bakat lakonan semula jadi berjaya meletakkan nama aktres sensasi, Norlida Ahmad, 61, sebaris dengan pelakon wanita popular lain pada era 1980-an.

Siapa boleh lupa dengan watak Mona lakonan Norlida dalam filem Tujuh Biang Keladi dan karakter isteri yang cemburu bernama Rosnah menerusi filem ikonik, Suara Kekasih.

Dengan pakej lengkap dimiliki, Norlida atau lebih mesra disapa Connie mudah diterima peminat hingga dianggap antara pesona bintang yang cukup menyerlah pada zaman itu.

Namun, siapa sangka, limpahan glamor dan kemasyhuran yang melingkari hidupnya hadir secara tidak sengaja apabila datang secara spontan ketika sedang bersiar-siar.

Mengimbas kenangan detik pertama bergelar pelakon, Connie akui: "Saya sedang bersiar-siar ketika berjalan di kawasan Pantai Lido, Johor Bahru.

"Saya ditegur seseorang yang menawarkan saya berlakon dalam drama yang sedang menjalani penggambaran di lokasi berkenaan.

"Waktu itu, pengarah drama adalah Allahyarham Roslee Jalil. Dalam drama ini, saya tidak diberikan dialog, sebaliknya hanya perlu lalu lalang di belakang pelakon utama.

"Walaupun sekadar mundar-mandir, tetapi banyak kali rakaman yang perlu dilakukan sebelum pengarah berpuas hati. Selepas selesai tugas, saya dibayar sebanyak RM100.

"Tidak terkira rasa gembira kerana nilai RM100 cukup besar pada zaman itu terutama untuk saya yang masih bersekolah. Ini adalah detik awal pembabitan saya dalam dunia lakonan walaupun tanpa pengalaman," cerita Connie yang turut berjinak-jinak dalam dunia peragaan dan iklan pada masa itu.

Norlida (kanan) menerima trofi Pelakon Pembantu Filem Popular, ABPBH pada 1990 daripada Kartina Aziz. - Foto NSTP
Norlida (kanan) menerima trofi Pelakon Pembantu Filem Popular, ABPBH pada 1990 daripada Kartina Aziz. - Foto NSTP

Sebaik sahaja tamat persekolahan, Connie berkata, dia mengambil keputusan merantau ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerjaya lakonan.

Berkat kesabaran dan rezeki, katanya, dari watak kecil akhirnya wajahnya menghiasi layar perak membawakan watak utama.

"Masa mula berlakon, saya hanya pegang watak pembantu. Saya pernah membawakan watak setiausaha kepada pelakon Allahyarham Osman Zailani dalam drama bersiri, PJ Holdings.

"Daripada tiada dialog, saya mula diberikan dialog. Kemudiannya, saya pergi uji bakat filem Tujuh Biang Keladi untuk mencuba nasib menjadi bintang filem.

"Pada mulanya, saya menjalani uji bakat untuk memegang watak antara tujuh gadis. Namun, rezeki memihak kepada saya apabila ditawarkan watak utama iaitu Mona.

"Puncanya, pengarah filem, Allahyarham Datuk Aziz Sattar meminta saya menanggalkan solekan. Secara kebetulan, saya tidak suka solekan tebal, saya ikut sahaja arahan arwah.

"Tawaran dilayangkan kepada saya selepas pelakon asalnya enggan mengikut arahan diberikan. Ini mungkin rezeki terpijak untuk saya," katanya kepada BH Online.

Connie bersama anak kesayangannya, Ally Marisha. - Foto IG Norlida Ahmad
Connie bersama anak kesayangannya, Ally Marisha. - Foto IG Norlida Ahmad

Menyorot semula perjalanan kerjaya ibu kepada seorang cahaya perempuan itu, Connie mengakui, sebagai anak seni, gosip umpama lumrah buatnya.

Meskipun sering dihambat pelbagai cerita panas, namun lebih selesa bertindak matang dalam menanganinya.

"Gosip adalah lumrah buat golongan artis. Nasihat saya kepada artis baharu, jika dihambat gosip tidak perlulah melenting. Buat apa nak takut jika tidak melakukannya.

"Jangan buat diri sendiri tertekan dengan perkara yang tidak dilakukan. Lebih baik bertenang sahaja. Biarlah orang luar nak cakap apa sahaja, dosa itu mereka yang tanggung," pesannya.

Ditanya apakah gosip yang memberi kesan kepadanya, Connie menjawab, cerita hangat yang sering melingkari hidupnya sudah tentu membabitkan soal perkahwinan dengan golongan kenamaan.

"Paling kerap, ada tuduh saya berkahwin dengan kenamaan itu, Datuk ini... Ramai juga golongan kenamaan yang dikaitkan dengan saya, tetapi hakikatnya, tiada cerita benar.

"Jika bercakap soal jodoh, terus terang dikatakan, saya bahagia dengan kehidupan dilalui hari ini, walaupun hidup sendiri tanpa lelaki bergelar suami.

"Saya tidak pernah menolak jodoh, tetapi pengalaman didekati lelaki bergelar suami orang membuatkan saya jadi takut. Seboleh mungkin saya cuba mengelak hidup bermadu.

"Saya percaya jika tidak kahwin di dunia, jodoh saya menanti di alam syurga," luah pelakon drama bersiri, Wardah ini.

Norlida bergandingan dengan Fasha Sandha dalam drama yang menjalani penggambaran di Paris.
Norlida bergandingan dengan Fasha Sandha dalam drama yang menjalani penggambaran di Paris.

Berbekalkan populariti dimiliki, Connie turut memahat kenangan dalam kerjaya seni apabila dinobatkan sebagai pemenang trofi Pelakon Wanita Filem Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1989.

Tahun berikutnya, Connie turut menggenggam trofi Pelakon Pembantu Filem Popular ABPBH pada 1990.

Mengimbau semula detik bersejarah, Connie berkata, kemenangan itu adalah satu kejutan buatnya.

"Sejujurnya, saya memang tidak sangka akan menang. Zaman itu manalah ada platform media sosial yang mana peminat mengundi untuk artis kesayangan.

"Paling mengejutkan, saya berjaya mengalahkan nama besar yang bersaing. Saya pula masih mentah lagi ketika memperoleh kemenangan," ujarnya yang tampil mengenakan gaun merah hati pada malam kemuncak acara itu.

Tiga tahun lalu, Connie pernah dimasukkan ke hospital berikutan terdapat banyak asid dalam hati hingga mengakibatkan koma dan lumpuh selama setahun. Kini, kesihatannya kini sudah semakin pulih.

Pada malam kemuncak ABPBH 1989, Connie mendapat undian sebanyak 34,724 mengalahkan saingan terdekat iaitu Raja Noorbaizura, Alice Voon, Rubiah Suparman dan Susan Lankaster.

Connie mempunyai anak angkat perempuan, Ally Marisha Afrina Abdullah, 21.

Berita Harian X