Selasa, 1 Jun 2021 | 3:00pm
Bukan hanya bijak mengatur langkah, malah Siti Saleha realistik dan berjaya menepis kontroversi yang boleh memberikan impak buruk pada kerjaya dan reputasinya. - Foto IG Siti Saleha
Bukan hanya bijak mengatur langkah, malah Siti Saleha realistik dan berjaya menepis kontroversi yang boleh memberikan impak buruk pada kerjaya dan reputasinya. - Foto IG Siti Saleha

Popular tanpa gosip liar

KUALA LUMPUR: Tanpa kontroversi dan gosip liar, aktres Siti Saleha, 31, mampu memacu nama serta populariti dengan membuktikan hasil kerjaya seni yang hebat.

Bukan hanya bijak mengatur langkah, malah wanita kacukan Melayu-Inggeris itu realistik dan berjaya menepis kontroversi yang mungkin memberikan impak buruk pada kerjaya dan reputasinya.

Selama hampir 13 tahun bergelar anak seni boleh dikatakan tiada satu pun cerita buruk melatari kehidupannya sama ada ketika zaman bujang mahupun alam rumah tangga.

Sungguhpun begitu, aktres yang pernah diangkat sebagai Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2013 dan 2020 itu sedar setiap inci kehidupannya menjadi perhatian peminat apabila bergelar figura popular.

Kini, saban hari ramai yang menantikan perkembangan kehidupan peribadinya bersama suami, Ahmad Lutfi Azhar. Hampir empat tahun melayari kehidupan berumah tangga, namun belum ada petanda menimang cahaya mata.

"Jujurnya, tidak semua perkara yang dirancang mampu diperoleh dengan sekelip mata. Ada perkara tidak menjadi seperti yang didambakan.

"Begitu juga soal cahaya mata. Saya melalui kehidupan ini seadanya," katanya membuka bicara.

Baginya, soal perancangan keluarga diserahkan kepada kuasa Tuhan.

"Saya percaya ada rezeki tidak akan ke mana. Saya tidak pernah merancang dan tidak mahu merancang. Soal cahaya mata juga bukan saya yang menentukannya.

"Saya dan suami sudah bersedia menimang cahaya mata sekiranya dikurniakan rezeki. Memang sebelum ini kami tidak mahu terburu-buru, namun sudah masanya kami berusaha dan bersedia menerima orang baharu dalam hidup.

"Bagaimanapun, saya bertuah memiliki suami yang sentiasa memahami. Malah, saya bersyukur suami menerima saya seadanya, ketentuan yang ada depan mata.

"Suami menyokong minat saya dalam dunia seni. Ia sekali gus menjadi pembakar semangat saya," katanya kepada B*POP.

Siti Saleha dan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar sudah bersedia menimbang cahaya mata, namun belum ditakdirkan memiliki rezeki. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha dan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar sudah bersedia menimbang cahaya mata, namun belum ditakdirkan memiliki rezeki. - Foto IG Siti Saleha

Malah, tegas pemegang watak antagonis, Amy dalam drama bersiri, Scammer itu, dia selesa dengan prinsip untuk terus membiasakan diri dengan menjaja cerita kerjaya berbanding soal peribadi.

Nyata, percaturan mengumpan kerjaya berjaya dilakukan apabila deretan anugerah dibolot membuatnya terbang tinggi dan dihormati sebagai aktres handalan.

"Saya percaya pada akhirnya usaha dan kerja keras akan dipandang serta dihargai. Sikap selektif memilih karya dan lakonan amat berbaloi. Saya tidak kisah hanya muncul dalam satu atau dua drama dalam setahun, tetapi diingati.

"Ada kala tertanya-tanya bagaimana pelakon lain boleh mengambil banyak projek secara berturutan. Bagaimanapun, apapun atas pilihan masing masing.

"Saya pula selesa memilih karya yang berkualiti. Biarlah tidak selalu keluar di kaca televisyen (TV), tetapi apabila sesekali dapat peluang meninggalkan impak yang besar. Pastinya ia menjadi lebih berharga," katanya.

Terbaharu, bintang yang meledak menerusi watak Mia Adriana dalam drama fenomena, 7 Hari Mencintaiku itu akan muncul dengan drama berjudul Scammer yang bersiaran sejak 24 Mei lalu.

Menerusi drama 20 episod itu diarahkan oleh Norhanisham Muhammad terbitan Radius One Sdn Bhd disiarkan menerusi Astro Ria.

"Pembabitan dalam drama Scammer ini ibarat sirih pulang ke gagang. Saya pernah berlakon drama Syurgamu Ramadan pada 2010. Bagaimanapun, rezeki mahu berlakon di bawah produksi Radius One termasuk di bawah arahan Shahrulezad Mohameddin selalu menjauh.

"Tawaran sentiasa ada, malah saya pernah ditawarkan watak dalam satu drama, namun tiada rezeki kerana bertindih jadual dengan komitmen lain. Hanya selepas 11 tahun, saya kembali beraksi semula dengan produksi ini.

"Saya memang sentiasa nantikan peluang bekerja dengan Radius One. Saya juga mengimpikan dapat kembali bekerja dengan Shahrulezad," katanya.

Siti Saleha bergandingan dengan Kamal Adli dan Fasha Sandha dalam drama Scammer siaran Astro Ria. - Foto IG Siti Saleha
Siti Saleha bergandingan dengan Kamal Adli dan Fasha Sandha dalam drama Scammer siaran Astro Ria. - Foto IG Siti Saleha

Menerusi drama Scammer, Saleha berkata, dia sekali lagi dipertemukan dengan pelakon Kamal Adli. Turut membintangi drama berkenaan ialah Fasha Sandha, Arash Mohamad, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Didie Alias.

"Saya pernah bergandingan dengan Kamal dalam drama Black menerusi platform Viu. Menariknya, drama Black musim kedua akan mula bersiaran pada 10 Jun depan.

"Pada awal penggambaran drama Scammer, saya selalu teringat karakter Kamal dalam drama Black. Saya lihat Kamal, terbayang pula babak kami dalam Black.

"Namun, saya akui, Kamal adalah pelakon berbakat besar kerana mampu menyerap watak diberi dengan baik. Saya memegang watak Amy, ia cukup berbeza dengan watak yang pernah dibawakan sebelum ini.

"Watak Amy memerlukan saya berdandan lebih cantik kerana seorang yang sangat mementingkan penampilan. Saya perlu bersolek tebal dan mengenakan kuku palsu. Amy digambarkan sangat elegan dan licik.

"Jadi, saya terpaksa ambil masa agak lama untuk bersiap demi memastikan watak Amy memenuhi tuntutan watak. Ikutkan, saya nak warna rambut supaya nampak lain.

"Namun, disebabkan terbatas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan salun tidak dibenarkan dibuka, jadi tidak tercapailah hasrat saya. Namun, saya terpaksa melakukan penyambungan bulu mata palsu untuk memberi kelainan," katanya.

Drama Scammer mengangkat isu kegiatan pengubahan wang haram secara rahsia.

Lalu, kata Saleha, sebagai persediaan, dia turut menonton drama dan filem dari luar negara termasuk drama Ozark yang disiarkan di saluran Netflix.

"Saya berharap drama Scammer dapat memberi pengajaran atau membuatkan kita lebih berhati-hati daripada menjadi mangsa penipuan aktiviti pengubahan wang haram.

"Setakat ini, saya bersyukur masih terselamat daripada terjebak dengan isu ini. Minta dijauhi. Saya percaya ramai yang sudah terkena dengan penipuan dalam talian. Nasihat saya, jangan sewenang-wenangnya menekan pautan yang disebarkan," katanya.

Di akhir bicara, pemenang trofi Asian Model pada Asia Model Festival 2020 di Seoul, Korea Selatan itu berkata, dia banyak menghabiskan masa di rumah jika tiada keperluan keluar.

"Saya menghabiskan masa menonton Netflix di rumah. Juga meneruskan rutin berdua secara berkualiti dengan suami. Saya juga mencuri masa mempertajamkan skil berbahasa Perancis dengan menonton video di laman YouTube.

"Selebihnya, saya memenuhi komitmen mempromosikan jenama produk dalam laman Instagram," katanya.

Berita Harian X