Jumaat, 11 Oktober 2019 | 7:01pm
ARNA bersama suaminya, Amar Asyraf.

'Saya takkan tinggalkan Amar saat dia diuji'

KUALA LUMPUR: Kontroversi cinta tiga segi Amar Asyraf dengan gadis yang dikenali ketika mementaskan teater Puteri Saadong, tahun lalu, makin hangat apabila isteri pelakon itu, Arna Salleh, bersuara demi mempertahankan rumah tangga dan dua anak mereka.

Arna yang sebelum ini berdiam diri mendakwa, dia perlu menjernihkan keadaan selepas pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Amar, susulan pengakuan gadis dikenali sebagai Ellika Azman, semalam.

“Berilah ruang kepada Amar menjadi insan yang lebih baik. Saya bukan isteri yang baik, namun, saya tidak akan meninggalkan Amar saat dirinya diuji.

“Jangan hancurkan kerja keras awak (suami) selama ini dan jangan menangis sendiri... Kita perlu pandang ke hadapan kerana kita ada banyak perancangan,” luahnya dalam entri di akaun media sosial.

Melalui entri itu, Arna dengan secara terperinci mendedahkan apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka termasuk gelagat Amar yang didakwa pernah menjalin hubungan dengan wanita lain, termasuk kes pertama dengan wanita berbeza.


ANTARA luahan dikongsi Arna di media sosial berikutan kontroversi dicetuskan suami. Foto IG Arna Salleh

Dalam catatan itu, Arna mendakwa:

“Pada 2015, selepas pulang daripada mengerjakan umrah, Amar mengaku sering berkomunikasi dengan seseorang. Marah dan kecewa, semuanya bercampur baur.

“Namun, ketika itu, saya memilih untuk memaafkan kedua-dua pihak untuk beroleh ketenangan.

“Pada 2017, Amar meluahkan hasrat berkahwin dengan individu sama. Keadaan menjadi tegang sehinggakan kami sering bergaduh.

“Saya tidak mahukan kehidupan yang penuh tekanan seperti itu. Akhirnya, saya beransur pulih dan cuba menjadi insan yang lebih baik. Memilih untuk berpisah, saya kemudian disahkan hamil dan ia mengubah segala-galanya.

“Sehinggalah wujud gadis ini pula (Ellika), namun, saya memilih tidak ambil pusing kerana sibuk dengan kehamilan dan menjaga anak kami, Taufiq.”

Arna mendakwa, dia mula menyedari sikap Ellika apabila sering menerima pelbagai jenis gangguan sepanjang proses kehamilan termasuk dituduh menggunakan ilmu hitam kepada Amar.

“Sepanjang kehamilan, saya diganggu pelbagai akaun palsu, fitnah, menyebarkan gosip kepada stesen televisyen (TV) dan syarikat akhbar dan banyak lagi.

“Ketika itu, saya menyarankan Amar menyelesaikan perkara ini secara baik dengan gadis itu. Ini kerana saya tidak mahu memanjangkan masalah,” katanya.

Arna menambah, ketika keadaan menjadi tegang, dia pernah meminta Amar bertemu Ellika di masjid dan menyelesaikan kemelut dihadapi, namun suaminya didakwa diugut.

“Saya minta maaf kepada pihak yang tersinggung dengan perkongsian ini. Saya tidak pernah bercerita kerana saya tidak mahu persepsi keluarga terhadap Amar berubah.

Sebelum ini, kecoh apabila Ellika mendedahkan hampir mendirikan rumah tangga Amar. Gadis itu juga memuat naik foto dan video bersama pelakon terbabit, sambil menasihatkan wanita lain usah tertipu dengan janji manis yang ditabur Amar.

Ellika bertemu Amar ketika membintangi teater Puteri Saadong di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini, Ogos, tahun lalu.

Amar berkahwin dengan Arna pada 7 Jun 2013. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Taufik serta Ammara Dian.

Berita Harian X