KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Seri Umie Aida dan Erra Fazira bersemuka, semalam, rentetan persengketaan yang dikatakan tercetus antara mereka.
Berkongsi rakaman perjumpaan itu menerusi Instagram Story di laman sosialnya, hari ini, Umie, 46, turut berharap warganet tidak lagi bercakap mengenai isu terbabit.
“Semua salahkan saya kerana tak maafkan dia (Erra). Ya Allah.
“Sekian terima kasih dan harap netizen tidak bercakap (mengenai) isu ini lagi. Semoga kita semua di dalam rahmat-Nya. Amin,” tulis Umie ringkas mengiringi perkongsian berkenaan.
Usaha BH Online untuk menghubungi pelakon berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai pertemuan yang difahamkan berlangsung di kediamannya itu bagaimanapun tidak membuahkan hasil.
Perjumpaan kedua-duanya dikatakan sebagai usaha untuk meleraikan kekusutan, selain tidak lagi memanjangkan episod persengketaan.
Kedua-dua bintang berkenaan juga kini menutup ruangan komen di laman sosial masing-masing.
“Maaf ya semua, ruang komen muat naik atau entri saya buat masa ini akan ditutup dahulu untuk mencari ruang bertenang bagi mengelakkan perbincangan yang mengundang perbalahan. Maaf ya sekali lagi, terima kasih,” tulis Erra di laman Instagramnya.
Desas-desus perang dingin antara dua pelakon popular itu mula diperkatakan apabila Umie memuat naik luahan hati mendakwa dikhianati sahabat baiknya sendiri, Khamis lalu.
Umie bagaimanapun sudah memadamkan perkongsian berkenaan.
Meskipun tidak menyebut gerangan individu dimaksudkan, pelbagai pihak membuat tanggapan ia ditujukan kepada Erra, 45, apabila masing-masing tidak lagi saling mengikut di laman sosial.
Susulan spekulasi mengaitkan dirinya berselisih faham dengan Umie, Erra tampil memohon maaf secara terbuka menerusi laman sosialnya, semalam, sekali gus berharap isu antara mereka selesai.