Ahad, 5 Februari 2023 | 10:52am
Sebuah rumah terbakar dalam kebakaran hutan di Puren, Wilayah Araucania, Chile yang mengorbankan 23 nyawa setakat ini. - Foto AFP
Sebuah rumah terbakar dalam kebakaran hutan di Puren, Wilayah Araucania, Chile yang mengorbankan 23 nyawa setakat ini. - Foto AFP

Mangsa terkorban kebakaran hutan di Chile meningkat 23

CONCEPCION: Ratusan hutan yang terbakar berpunca gelombang suhu panas di selatan tengah Chile meragut 23 nyawa setakat ini.

Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha, dalam satu kenyataan, berkata sebanyak 251 lokasi membabitkan kebakaran aktif dengan 76 kebakaran meletus dalam tempoh sehari lalu.

Tragedi itu mendorong Presiden Chile, Gabriel Boric, melanjutkan bencana negara termasuk membabitkan wilayah selatan Araucania.

Wilayah Nuble dan Biobio sudah pun diklasifikasikan sebagai kawasan bencana.

Langkah itu membolehkan Boric mengerahkan pasukan tentera untuk membantu memadamkan kebakaran memandangkan kadar kematian terus bertambah.

"Detik sekarang ini sangat menyakitkan, sangat sukar kerana 23 orang sudah mati," kata Toha sambil menambah kebakaran turut mengakibatkan 554 orang cedera, manakala 16 daripadanya dalam keadaan serius.

Suhu panas mencecah 40 darjah Celsius membuatkan usaha memadam api lebih sukar, bahkan ada kawasan terbakar sukar dikawal.

Susulan tragedi itu, Boric terpaksa menangguhkan percutian apabila bergegas ke bandar Concepcion sejauh 510 kilometer (km) dari selatan ibu kota Santiago.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau berjanji akan terus berusaha menangani isu kebakaran hutan dan membantu keluarga yang terkesan.

Sementara itu, Boric memaklumkan negara lain seperti Argentina turut menghulurkan bantuan dengan menawarkan khidmat anggota bomba dan peralatan.

Selain itu, Brazil, Uruguay, Mexico dan Sepanyol juga menawarkan bantuan.

"Kami menjadi salah satu daripada negara yang paling terdedah kepada kebakaran, secara asasnya ia berpunca daripada evolusi perubahan iklim," kata Toha.

Menurut pihak berkuasa sebelum ini, 10 daripada jumlah kematian direkodkan di bandar Santa Juana dekat wilayah Concepsion.

Api memusnahkan sekurang-kurangnya 88 rumah dan membakar seluas 47,000 hektar hutan. - AFP

Berita Harian X