Khamis, 6 Oktober 2022 | 6:50pm
Manasseh Sogavare (kiri) bertemu Anthony Albanese menjelang mesyuarat dua hala di Canberra. - Foto AP
Manasseh Sogavare (kiri) bertemu Anthony Albanese menjelang mesyuarat dua hala di Canberra. - Foto AP

PM Kepulauan Solomon tegaskan tidak akan jejaskan keselamatan Pasifik

SYDNEY: Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare hari ini menegaskan tidak akan membuat tindakan yang akan menjejaskan keselamatan pasifik atau membenarkan pangkalan tentera di negaranya susulan perjanjian keselamatan dengan China.

Komitmen Sogavare itu dimaklumkan kepada rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese dalam lawatan singkat ke Canberra.

Sogavare berkata, Australia kekal sebagai rakan pembangunan pilihan Kepulauan Solomon.

Hubungan Australia-Kepulauan Solomon renggang selepas negara kepulauan Pasifik itu mengadakan pakatan keselamatan dengan China, April lalu.

Perjanjian itu menimbulkan kebimbangan bagi Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang melihat sebahagian besar wilayah Pasifik sebagai pengaruh mereka, sejak beberapa dekad lalu.

"Kepulauan Solomon tidak akan membuat tindakan yang akan menjejaskan keselamatan negara, mana-mana atau semua negara forum (Pulau Pasifik).

"Saya sekali lagi menegaskan kita tidak akan digunakan untuk pemetaan tentera asing atau institusi negara asing kerana ini tidak akan menjadi kepentingan Kepulauan Solomon dan penduduknya," kata Sogavare ketika permulaan mesyuarat seperti dilaporkan ABC.

Kenyataan bersama dikeluarkan pejabat Albanese selepas pertemuan itu berkata, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala, krisis iklim, dan 'berkongsi aspirasi untuk Pasifik yang aman, makmur dan berdaya tahan'.

ABC melaporkan, Sogavare berterima kasih kepada Albanese susulan 'tawaran' membiayai pilihan raya akan datang yang sepatutnya diadakan pada 2023, tetapi ditangguhkan ke 2024 kerana Kepulauan Solomon menjadi tuan rumah Sukan Pasifik, tahun depan.

Ia menunjukkan perubahan nada berbanding bulan lalu, apabila Sogavare mengkritik tawaran pembiayaan pilihan raya sebagai 'gangguan'.

Mesyuarat dua hala itu diadakan beberapa hari selepas Presiden AS, Joe Biden dan 14 negara pulau Pasifik mengeluarkan deklarasi bersama untuk mengukuhkan perkongsian mereka bagi tawaran Washington bernilai ratusan juta bantuan baharu untuk rantau itu.

Kepulauan Solomon mengesahkan dokumen itu, biarpun sebelum ini menunjukkan tanda seolah-olah tidak akan menandatangani perisytiharan berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X