Isnin, 8 Ogos 2022 | 4:32pm
Cacar monyet didapati meningkat kepada lebih 20,000 kes babitkan 75 negara setakat ini.
Cacar monyet didapati meningkat kepada lebih 20,000 kes babitkan 75 negara setakat ini.

Tingkat kesedaran cegah cacar monyet jadi pandemik

London: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, baru-baru ini mengisytiharkan wabak cacar monyet yang merebak dengan pantas sebagai kecemasan kesihatan awam keprihatinan antarabangsa (PHEIC), iaitu tahap amaran tertinggi pertubuhan itu.

Cacar monyet ialah kecemasan kesihatan ketujuh yang diisytiharkan oleh WHO. Yang lain termasuk selesema babi pada 2009, Ebola (2014 dan 2019), virus Zika (2016), virus polio (2014) dan COVID-19 (2020).

Kali pertama dikenal pasti merebak dalam kalangan monyet, virus itu kini boleh tersebar menerusi hubungan rapat atau kontak dengan orang yang dijangkiti.

Pada awal tahun ini, virus yang jarang ditemui di luar Afrika di mana ia diisytiharkan sebagai endemik itu, kali pertama dikesan di United Kingdom pada awal Mei, sekali gus menandakan wabak itu mula menular di Eropah.

Sejak itu, kes didapati meningkat kepada lebih 20,000 di 75 negara dengan lima kematian dilaporkan di Afrika, selain dua korban di Sepanyol dan masing-masing satu di Peru, Brazil dan India setakat Rabu lalu.

Namun penularan cacar monyet tidak semudah seperti virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan wabak COVID-19. Perkara itu disahkan oleh Dr Martin Hirsch dari Hospital Besar Massachusetts.

"COVID-19 merebak melalui laluan pernafasan dan sangat berjangkit. Ia nampaknya tidak berlaku dengan cacar monyet," katanya.

Risiko cacar monyet berada pada tahap sederhana di seluruh dunia kecuali di Eropah, di mana WHO menganggapnya sebagai risiko tinggi.

Kadar kematian melalui wabak cacar monyet sebelum ini di Afrika daripada strain yang sedang merebak adalah sekitar satu peratus, tetapi sehingga kini wabak berkenaan nampaknya kurang membawa maut di negara bukan endemik yang kebanyakannya mempunyai infrastruktur penjagaan kesihatan lebih kukuh.

Perunding kesihatan seksual dan pensyarah
di Universiti Queen Mary University London, Dr John Thornhill, berkata satu daripada 10 orang hanya mengalami luka kulit di kawasan kemaluan, dan 15 peratus mengalami sakit di bahagian dubur.

Penemuan itu menyokong analisis terbaru kes di London yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British.

Katanya, daripada 54 kes itu, luka kulit pada alat kelamin kelihatan lebih biasa dalam wabak ini, manakala demam dan keletihan adalah kurang.

Simptom menyamai jangkitan kelamin

Apa yang membimbangkan ialah simptom ini dikelirukan dengan jangkitan kelamin (STI) lain seperti ketuat alat kelamin atau sifilis atau kudis selesema.

Apabila kes melangkaui gejala biasa, ia menjadikan penularan penyakit itu lebih mencabar.

Menurut laporan berkenaan, gejala klinikal adalah sama dengan jangkitan STI dan boleh membawa kepada kesilapan diagnosis.

Menurut pakar, kumpulan saintis cuba untuk mengesahkan apa yang menyebabkan penularan awal kes dan sama ada sebarang perkembangan mengenai virus itu sudah berubah.

Katanya, peningkatan perjalanan global serta perubahan iklim secara amnya mempercepatkan kemunculan dan penyebaran virus.

Menurut pakar penyakit berjangkit, kekurangan peruntukan selama beberapa tahun terhadap operasi klinik kesihatan seksual yang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam tindak balas semasa cacar monyet, menyebabkan fasiliti itu tidak bersedia untuk membendung penularan selanjutnya.

Berdasarkan maklumat pegawai kesihatan, orang awam perlu mengelak hubungan rapat dengan seseorang yang mempunyai gejala ruam atau berada dalam keadaan tidak sihat.

Pesakit yang mengesyaki dirinya menghidapi cacar monyet harus melakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari dan mendapatkan rawatan perubatan.

Pegawai kesihatan juga menawarkan vaksin cacar monyet kepada individu berisiko tinggi dan mereka yang berhubung rapat dengan orang yang dijangkiti.

Syarikat Denmark, Bavarian Nordic, BAVA.CO, mengeluarkan vaksin cacar yang menggunakan
jenama Jynneos, Imvamune atau Imvanex, bergantung kepada di mana ia dijual.

Ia diluluskan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk pencegahan bagi cacar dan yang berkait rapat dengan cacar monyet.

Vaksin terdahulu yang kini dihasilkan Emergent Biosolutions, ialah ACAM2000 tetapi pengambilannya adalah terhad kerana amaran kesan sampingan teruk.

Menurut Bavarian Nordic, ia boleh menghasilkan 30 juta dos vaksin, termasuk cacar monyet pada setiap tahun dan sudah memanfaatkan
pengeluar yang berpangkalan di AS secara kontrak untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran vaksin cacar monyet.

Gejala cacar monyet selalunya hilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa minggu, namun pesakit mungkin menerima cecair tambahan dan rawatan tambahan bagi mengelakkan jangkitan bakteria sekunder.

Agen antivirus yang dipanggil tecovirimat dengan jenama sebagai TPOXX dan dibuat oleh SIGA Technologies mempunyai kelulusan AS dan Kesatuan Eropah (EU) untuk cacar, manakala bagi kelulusan Eropah, ia turut membabitkan cacar monyet dan cacar lembu.

Sementara itu, kumpulan pakar memberi amaran gejala baharu cacar monyet boleh disebarkan tanpa batasan sempadan sekiranya orang ramai tidak berwaspada bagi mengekang penularan.

AGENSI

Berita Harian X