Isnin, 4 Julai 2022 | 2:55pm
Seorang jururawat menyediakan satu dos vaksin COVID-19 semasa kempen vaksinasi di Hospital Ridge di Accra, Ghana. - Foto REUTERS
Seorang jururawat menyediakan satu dos vaksin COVID-19 semasa kempen vaksinasi di Hospital Ridge di Accra, Ghana. - Foto REUTERS

Gerakan antivaksin meningkatkan penolakan vaksinasi

WASHINGTON: Trend ibubapa mempersoalkan keperluan rutin vaksinasi terhadap anak mereka dikesan mampu mengukuhkan gerakan antivaksin dan boleh menyumbang kepada penurunan imunisasi terhadap campak, polio dan penyakit bahaya lain.

Pakar pediatrik Texas dan jurucakap American Academy of Pediatrics, Jason Terk, berkata trend sedemikian dikesan semakin tinggi malah membandingkan dengan vaksinasi terhadap orang dewasa.

"Mereka bertanya sama ada ia benar-benar perlu atau jika kita boleh memberikannya pada masa-masa tertentu.

"Bukan semua ibu bapa, tetapi kami melihat jumlah yang lebih tinggi," katanya.

Pergerakan antivaksin berkembang pesat dengan maklumat tidak tepat di media sosial malah diperkuatkan lagi oleh tokoh politik konservatif serta pengaruh luar, yang dikesan menular sejak prapendemik lagi.

Dengan kadar imunisasi rutin menurun, kebimbangan semakin meningkat terhadap kebangkitan semula penyakit yang sebahagian besarnya sudah berjaya dihapuskan di banyak bahagian dunia.

Di Amerika Syarikat, peratusan kanak-kanak tadika dengan imunisasi yang disyorkan turun satu mata kepada 94 peratus pada tahun persekolahan 2020-21 dan ia mewakili kira-kira 35,000 kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

"Saya merujuknya sebagai penularan selari. Ia nampaknya mempunyai keraguan terhadap vaksinasi COVID-19 dan meningkatkan ketidakpercayaan terhadap vaksin," kata Terk.

Perubahan dramatik dilihat berlaku di beberapa negeri, terutamanya semasa kemuncak wabak dengan penyelidik mendapati penurunan 47 peratus dalam kadar imunisasi di Texas dalam kalangan kanak-kanak berusia lima bulan dan penurunan 58 peratus untuk kanak-kanak berusia 16 bulan, di antara 2019 dan 2020.

Penyelidik dalam jurnal saintifik Vaccine berkata, penurunan itu disebabkan oleh sekatan tempat perlindungan dan pengecualian vaksin serta 'pergerakan antivaksin yang agresif di Texas'.

Negeri Washington melaporkan penurunan 13 peratus dalam kadar imunisasi kanak-kanak pada 2021 berbanding tahap prapandemik dan kadar vaksinasi Michigan untuk kanak-kanak turun tahun lalu, kepada 69.9 peratus, terendah dalam satu dekad.

Menurut perundingan kesihatan Avalere, yang menganalisis tuntutan syarikat insurans, kadar vaksinasi dewasa dan remaja juga menurun bagi vaksin yang melindungi daripada penyakit seperti influenza, hepatitis, campak, tetanus dan kayap.

Kata Avalere, dianggarkan 37 juta terlepas dos vaksinasi dari Januari 2020 hingga Julai 2021 bagi orang dewasa dan kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas. - AFP

Berita Harian X