Khamis, 23 Jun 2022 | 5:51pm
Penyakit cacar monyet. - Foto AGENSI
Penyakit cacar monyet. - Foto AGENSI

Keputusan memuktamadkan status 'kecemasan' cacar monyet cetus kritikan

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini akan memuktamadkan sama ada bakal mengisytiharkan cacar monyet atau monkeypox sebagai kecemasan kesihatan global.

Ia bagaimanapun mencetuskan kritikan dalam kalangan kumpulan saintis terkemuka Afrika yang mendakwa ia telah menjadi krisis di rantau itu selama bertahun-tahun.

Perbincangan dan penelitian berhubung tindak balas WHO terhadap wabak itu susulan kebimbangan mengenai cara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan di seluruh dunia menangani COVID-19 pada awal 2020.

Cacar monyet tidak merebak semudah COVID-19, selain terdapat vaksin serta rawatan yang tersedia bagi menangani penularannya.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga tetap diambil bagi mengelakkan jangkitan secara meluas.

Menurut statistik dikeluarkan Reuters, jumlah kes semasa di luar Afrika telah melebihi 3,000 kes membabitkan lebih 40 negara dengan sebahagian besarnya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks songsang sesama jantina, sejak ia pertama kali dilaporkan pada Mei.

Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada laporan kematian dikeluarkan.

Penyakit itu yang menyebabkan gejala ringan seperti selesema diklasifikasikan sebagai wabak endemik di sebelah barat dan tengah Afrika.

Mengikut data rasmi, benua itu telah mencatatkan lebih 1,500 kes yang disyaki sejak awal 2022, dengan 66 pesakit yang dijangkiti cacar monyet telah meninggal dunia.

"Apabila penyakit menyerang negara membangun, ia bukan kecemasan. Ia hanya menjadi kecemasan apabila negara maju terjejas," kata Pemangku Pengarah Institut Pasteur di Bangui, Republik Afrika Tengah, Prof Emmanuel Nakoune yang menjalankan percubaan klinikal bagi rawatan cacar monyet.

Bagaimanapun, Nakounde berkata, jika WHO mengisytiharkan 'kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa', ia masih dilihat sebagai langkah yang penting.

"Jika ada iltizam politik untuk berkongsi secara saksama cara tindak balas di antara negara maju dan membangun... setiap negara akan mendapat manfaat," katanya.

WHO berkata, pihaknya sedang mengusahakan mekanisme untuk berkongsi rawatan dan vaksin.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang diadakan hari ini membabitkan kumpulan pakar dari wilayah yang paling terjejas, ia termasuk rundingan dengan kumpulan saintis termasuk Nakounde.

Mereka akan mengemukakan cadangan kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang bakal membuat keputusan muktamad sama ada untuk mengisytiharkan ia sebagai kecemasan kesihatan global. - REUTERS

Berita Harian X