Selasa, 24 Mei 2022 | 11:21am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Australia anggap hubungan dengan China kekal mencabar

SYDNEY: Hubungan Australia dengan China akan kekal mencabar, kata Timbalan Perdana Menteri, Richard Marles pada Selasa ketika perdana menteri China dilapor mengucapkan tahniah kepada kerajaan Parti Buruh yang memenangi pilihan raya umum, hujung minggu lalu.

Hubungan antara Australia dan China, rakan dagang terbesarnya, merosot selepas kedua-dua negara bertelagah dalam beberapa isu termasuk perdagangan, asal usul COVID-19 dan tuduhan Australia mengenai campur tangan politik China.

"Dari sudut pandangan Australia, kami memahami kerumitan hubungan itu... tetapi China sedang berusaha untuk membentuk dunia di sekelilingnya dengan cara yang tidak pernah kami lihat sebelum ini," kata Marles kepada televisyen ABC.

"Semua itu saya fikir akan menjadikannya laluan yang agak mencabar ke hadapan."

Anthony Albanese, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia ke-31 pada Isnin, berkata hubungan dua hala itu akan kekal "sesuatu yang sukar" sebelum beliau berlepas ke sidang kemuncak Quad di Tokyo dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden serta perdana menteri Jepun dan India.

Quad ialah kumpulan keselamatan tidak formal yang dilihat Beijing sebagai percubaan untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik.

Xinhua melaporkan Perdana Menteri China Li Keqiang pada Isnin menghantar ucapan tahniah kepada Albanese atas kemenangan dalam pilihan raya, sekali gus dilihat mungkin menamatkan pembekuan diplomatik China selama dua tahun ke atas Australia.

Marles berkata beliau tidak menyedari sebarang komunikasi dari Beijing.

Parti Buruh kembali berkuasa sebagai gelombang sokongan kepada Greens selepas menewaskan pakatan konservatif Liberal-Nasional pada pilihan raya umum Sabtu lalu.

Bekas Menteri Pertahanan Peter Dutton menjadi pilihan untuk memimpin Liberal, lapor media tempatan, selepas bekas Perdana Menteri Scott Morrison meletak jawatan sebagai ketua parti.

Dengan undian masih dikira, Parti Buruh mendahului 75 kerusi - kurang satu daripada majoriti. Sesetengah penganalisis meramalkan Parti Buruh akan mendapat cukup kerusi untuk mentadbir sendiri. - REUTERS

Berita Harian X