Khamis, 19 Mei 2022 | 3:30pm
Konflik dan bencana alam menyebabkan puluhan juta individu melarikan diri dari negara sendiri tahun lalu. - Foto AGENSI
Konflik dan bencana alam menyebabkan puluhan juta individu melarikan diri dari negara sendiri tahun lalu. - Foto AGENSI

Hampir 60 juta orang kehilangan tempat tinggal pada 2021

GENEVA: Konflik dan bencana alam menyebabkan puluhan juta individu melarikan diri dari negara sendiri tahun lalu, mendorong jumlah mereka yang dipindahkan menjangkau paras tertinggi, menurut agensi pemantau hari ini.

Pusat Pemantauan Pemindahan Dalaman (IDMC) dan Majlis Pelarian Norway (NRC), berkata, kira-kira 59.1 juta individu didaftarkan sebagai pelarian di seluruh dunia tahun lalu, dengan jangkaan ia akan terus meningkat tahun ini di tengah-tengah pemindahan besar-besaran susulan krisis Ukraine-Russia.

Katanya, kira-kira 38 juta pemindahan baru dalam negara dilaporkan tahun lalu, dengan sebahagiannya terpaksa melarikan diri beberapa kali dalam tempoh setahun.

Data itu merekodkan jumlah tahunan kedua tertinggi bagi pemindahan dalam negara sepanjang tempoh sedekad selepas 2020, yang menyaksikan rekod tertinggi, disumbang faktor bencana alam.

Laporan itu menunjukkan, tahun lalu, pemindahan dalam negara ekoran konflik itu melonjak kepada 14.4 juta orang, menyaksikan peningkatan 50 peratus berbanding 2020 dan lebih dua kali ganda sejak 2012.

Peningkatan angka global itu dijangka terus meningkat tahun ini, didorong khususnya oleh perang di Ukraine.

Lebih lapan juta orang kehilangan tempat tinggal di Ukraine sejak pencerobohan besar-besaran Russia bermula pada 24 Februari lalu, tambahan kepada lebih enam juta yang melarikan diri dari negara itu sebagai pelarian.

Pengarah IDMC, Alexandra Bilak berkata, angka yang dilihat pada tahun lalu menandakan suasana tragis terhadap keadaan dunia dan ketika dunia berusaha untuk membina semula keamanannya.

"Tahun 2022 kelihatan lebih suram," katanya.

Ketua NRC, Jan Egeland, juga bersetuju dan memberi amaran keadaan sebelumnya tidak pernah seteruk ini.

"Dunia sedang runtuh. Keadaan hari ini adalah luar biasa, lebih teruk daripada yang dijangkakan oleh rekod kami," katanya.

Tahun lalu, sub-Sahara Afrika merekod angka tertinggi, dengan lebih lima juta pemindahan dilaporkan di Ethiopia saja, ketika negara itu bergelut dengan konflik Tigray yang semakin berkembang serta kemarau dahsyat.

Itu menandakan angka tertinggi pernah didaftarkan untuk satu negara.

Angka pemindahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini juga direkodkan tahun lalu di Republik Demokratik Congo dan Afghanistan, di mana Taliban kembali berkuasa, selain faktor kemarau, menyaksikan ramai mula meninggalkan kediamannya.

Di Myanmar, di mana junta tentera melakukan rampasan kuasa pada Februari tahun lalu, jumlah perpindahan juga mencapai rekod tertinggi, menurut laporan itu.

Rantau Asia Barat dan Afrika Utara merekodkan jumlah perpindahan baharu terendah dalam satu tempoh sedekad, apabila konflik di Syria, Libya dan Iraq mula berkurangan, namun jumlah keseluruhan orang yang dipindahkan di rantau itu kekal tinggi.

Syria, di mana perang saudara sudah berleluasa selama lebih 11 tahun, masih merekodkan bilangan penduduk dunia paling ramai terbabit dalam pemindahan dalam negara akibat konflik, 6.7 juta pada akhir 2021.

Itu diikuti oleh Congo (5.3 juta), Colombia (5.2 juta) serta Afghanistan dan Yaman masing-masing 4.3 juta.

Biarpun peningkatan pemindahan dalam negara berkaitan konflik, bencana alam terus menyumbang sebagai utamanya, mendorong 23.7 juta berpindah pada 2021.

Sebanyak 94 peratus daripadanya dikaitkan dengan bencana berkaitan cuaca dan iklim, seperti taufan, hujan monsun, banjir dan kemarau.

Pakar mengatakan bahawa perubahan iklim meningkatkan intensiti dan kekerapan kejadian cuaca ekstrim.

China, Filipina dan India paling teruk terjejas, bersama-sama menyumbang kira-kira 70 peratus daripada semua pemindahan berkaitan bencana tahun lalu.

Egeland berkata, konflik dan bencana semakin kerap bertembung, mewujudkan masalah yang semakin rumit.

Di negara seperti Mozambique, Myanmar, Somalia dan selatan Sudan, krisis berganda memberi kesan kepada keselamatan makanan.

"Kami memerlukan perubahan besar dalam pemikiran pemimpin dunia mengenai cara mencegah dan menyelesaikan konflik untuk menamatkan penderitaan manusia yang semakin meningkat ini," katanya. - AFP

Berita Harian X