Isnin, 25 April 2022 | 4:11pm
Penumpang pesawat persendirian itu adalah warga AS yang mengetuai syarikat hartanah, Larry Connor; ahli perniagaan Kanada, Mark Pathy dan bekas juruterbang pejuang dan usahawan, Israel Eytan Stibbe, manakala seorang lagi adalah bekas angkasawan, Michael Lopez-Alegria. - Foto AGENSI
Penumpang pesawat persendirian itu adalah warga AS yang mengetuai syarikat hartanah, Larry Connor; ahli perniagaan Kanada, Mark Pathy dan bekas juruterbang pejuang dan usahawan, Israel Eytan Stibbe, manakala seorang lagi adalah bekas angkasawan, Michael Lopez-Alegria. - Foto AGENSI

Anak kapal penerbangan persendirian pertama ke ISS kembali ke Bumi

WASHINGTON: Anak kapal angkasa persendirian yang pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) meninggalkan makmal, mengorbit untuk kembali ke Bumi, hari ini.

Tiga ahli perniagaan dan seorang bekas angkasawan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) menghabiskan lebih dua minggu di stesen itu dalam misi mencipta sejarah yang dianjurkan syarikat persendirian, Axiom Space.

Kapsul SpaceX berlepas dari ISS pada jam 9.10 petang waktu tempatan (0110 GMT) untuk perjalanan pulang dan dijadualkan mendarat di lautan di luar pantai Florida pada sekitar jam 1:00 petang waktu tempatan (1700 GMT).

Empat lelaki itu - tiga daripadanya membayar puluhan juta dolar untuk berada di ISS - satu peluang yang jarang berlaku, mengambil bahagian dalam misi itu yang pada asalnya dijadualkan menghabiskan masa lapan hari di stesen angkasa.

Namun, cuaca buruk di Bumi menyebabkan misi kembali ke Bumi bagi membawa mereka pulang terpaksa ditangguhkan.

Penumpang pesawat persendirian itu adalah warga AS yang mengetuai syarikat hartanah, dikenali sebagai Larry Connor; ahli perniagaan Kanada, Mark Pathy dan bekas juruterbang pejuang dan usahawan, Israel Eytan Stibbe, berlepas dari Florida pada 8 April lalu dan sampai ke ISS sehari kemudian.

Bekas angkasawan, Michael Lopez-Alegria, yang memegang dua kewarganegaraan AS-Sepanyol, adalah penumpang keempat.

Menurut blog NASA, sebaik saja berada dalam kapal angkasa itu, kesemua rombongan lelaki itu menjalani ujian yang dijalankan dengan kerjasama pusat penyelidikan Bumi, termasuk kesihatan jantung dan prestasi kognitif dalam graviti rendah.

Pathy menghabiskan banyak masa di kubah pemerhatian yang terkenal di stesen itu, mengambil gambar Bumi dari jarak 400 kilometer di atas kepala.

Misi itu digelar Ax-1 sempena nama syarikat Axiom Space, yang bertindak sebagai agensi pelancongan angkasa, yang membayar SpaceX untuk menyediakan pengangkutan dua hala dan NASA yang menyediakan penggunaan penginapan di orbit.

NASA pada dasarnya sudah memberi lampu hijau kepada misi kedua: Ax-2.

Ax-1 membawa dan meninggalkan tujuh orang di ISS membabitkan tiga warga Amerika Syarikat, tiga warga Russia dan seorang warga Jerman.

SpaceX Dragon yang akan mendarat di lautan menjadi yang kelima setakat ini berbuat demikian.

SpaceX, yang dimiliki oleh usahawan jutawan Elon Musk, kini kerap mengangkut angkasawan NASA berulang alik dari stesen angkasa.

Tahun lalu, syarikat Musk melancarkan satu lagi misi persendirian sepenuhnya, namun ia hanya terbang di orbit Bumi selama tiga hari dan tidak bersambung stesen ISS. - AFP

Berita Harian X