Ahad, 24 April 2022 | 1:04pm
Kem tahanan Guantanamo Bay adalah penjara tentera AS terletak di dalam Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo, juga dirujuk sebagai Guantánamo. - AFP
Kem tahanan Guantanamo Bay adalah penjara tentera AS terletak di dalam Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo, juga dirujuk sebagai Guantánamo. - AFP

Bekas tahanan Guantanamo saman Kanada

MONTREAL: Seorang bekas tahanan penjara Guantanamo yang menghabiskan hidup 14 tahun tanpa bicara memfailkan saman terhadap Kanada atas dakwaan peranan negara itu dalam penahanannya.

Mohamedou Ould Slahi, 51, yang kisahnya diceritakan dalam filem 'The Mauritanian' mendakwa, pihak berkuasa Kanada memberikan maklumat palsu mengenai tempoh dirinya menjadi pemastautin tetap di Montreal pada 1999, membawa kepada penangkapan dan penyeksaan seterusnya di penjara Amerika Syarikat (AS) itu.

Perkara itu terkandung dalam aduan difailkannya semalam dan disemak AFP.

Mohamedou menuntut 35 juta dolar Kanada (RM119.09 juta) sebagai ganti rugi atas penyeksaan dialaminya.

Dalam tuntutan mahkamah itu, Mohamedou berkata, dia berdepan pukulan fizikal, kurang tidur, dipaksa berdiri, bunyi bising berterusan, serangan seksual, pembunuhan olok-olok, ancaman bunuh, penghinaan agama dan banyak lagi semasa berada di Guantanamo.

"Penahanan dan penganiayaan Mohamedou berpanjangan kerana penerimaan serta penggunaan pengakuan paksa oleh pihak berkuasa Kanada mengesahkan penyeksaan dan penahanan berterusan," kata peguamnya dalam aduan itu.

Kisah dialami Mohamedou adalah buku terlaris yang diadaptasi untuk filem.

Filem dibintangi Tahar Rahim dan Jodie Foster itu menggambarkan dengan tepat mengenai keadaan ekstrem di pangkalan AS.

Berikutan serangan 11 September ke atas AS, Mohamedou disyaki terbabit dalam rancangan untuk mengebom Los Angeles pada 1999, namun gagal.

Mohamedou ditangkap pada 2001 di Mauritania, kemudian dipenjarakan berturut-turut di Jordan dan Afghanistan, sebelum tiba di Guantanamo pada 2002, dalam apa yang disebut dalam bukunya sebagai jelajah dunia penyeksaan dan penghinaan.

Dia dibebaskan pada 2016. -AFP

Berita Harian X