Ahad, 24 April 2022 | 10:12am
Kajian mendapati hanya 26 peratus pesakit COVID-19 dilaporkan pulih sepenuhnya selepas lima bulan dan jumlah itu sedikit meningkat kepada 28.9 peratus selepas setahun. - NSTP
Kajian mendapati hanya 26 peratus pesakit COVID-19 dilaporkan pulih sepenuhnya selepas lima bulan dan jumlah itu sedikit meningkat kepada 28.9 peratus selepas setahun. - NSTP

COVID-19: Hanya 29 peratus pesakit sihat sepenuhnya selepas setahun

PARIS: Hanya 29 peratus daripada pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital sihat sepenuhnya selepas setahun, demikian menurut satu kajian di United Kingdom (UK).

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lancet Respiratory Medicine itu juga memberi amaran bahawa 'long COVID' akan menjadi satu keadaan yang biasa.

Selain itu, kajian membabitkan lebih 2,300 orang itu juga mendapati bahawa wanita berkemungkinan untuk 33 peratus kurang pulih sepenuhnya berbanding lelaki.

Ia juga mendapati individu yang menghidap obesiti mempunyai separuh kemungkinan untuk pulih sepenuhnya, manakala mereka yang memerlukan pengudaraan mekanikal adalah 58 peratus lebih kecil kemungkinannya.

Kajian itu mengkaji keadaan kesihatan individu yang dibenarkan keluar dari 39 hospital di Britain selepas dijangkiti COVID-19 antara Mac 2020 dan April 2021, selain menilai pemulihan 807 individu daripada golongan itu antara lima bulan dan setahun kemudian.

Dalam pada itu, kajian sama mendapati hanya 26 peratus dilaporkan pulih sepenuhnya selepas lima bulan dan jumlah itu sedikit meningkat kepada 28.9 peratus selepas setahun.

Ketua bersama kajian, Rachel Evans dari Institut Kebangsaan bagi Penyelidikan Kesihatan dan Penjagaan berkata, pemulihan terhad daripada lima bulan kepada setahun selepas dimasukkan ke hospital dalam kajian itu, merentasi simptom, kesihatan mental, kapasiti senaman, gangguan organ dan kualiti hidup menarik perhatian.

Simptom 'long COVID' yang paling biasa adalah keletihan, sakit otot, kurang tidur, menjadi perlahan secara fizikal dan sesak nafas.

"Tanpa rawatan yang berkesan, long COVID boleh menjadi keadaan jangka panjang baharu yang sangat lazim berlaku," kata ketua bersama kajian, Christopher Brightling dari Universiti Leicester.

Kajian itu yang akan dibentangkan di Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah, sedang berjalan dan kesihatan pesakit akan terus dipantau. - AFP

Berita Harian X