Ahad, 24 April 2022 | 6:12am
Orang ramai berhimpun ketika ambulans kelihatan di kawasan pelabuhan susulan tragedi bot membawa pendatang karam di luar pantai bandar utara Tripoli di Lubnan. - REUTERS
Orang ramai berhimpun ketika ambulans kelihatan di kawasan pelabuhan susulan tragedi bot membawa pendatang karam di luar pantai bandar utara Tripoli di Lubnan. - REUTERS

Kanak-kanak maut, 45 diselamatkan bot bawa pendatang karam di Lubnan

BEIRUT: Seorang kanak-kanak maut, manakala 45 yang lain diselamatkan selepas sebuah bot membawa kira-kira 60 pendatang karam di luar Lubnan semalam.

Perkara itu disahkan Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Ali Hamie, yang turut memaklumkan pencarian mangsa tragedi berlaku berhampiran pantai bandar utara Tripoli itu masih lagi dijalankan.

Palang Merah Lubnan juga memaklumkan pihaknya menghantar 10 ambulans ke Tripoli.

Seorang wartawan AFP berkata, pihak berkuasa menutup pelabuhan, membenarkan kemasukan hanya kepada ambulans yang keluar masuk.

Sanak saudara dilihat berkumpul di kawasan itu untuk memeriksa keadaan ahli keluarga mereka, namun tidak dibenarkan masuk.

"Insiden ini berlaku disebabkan ahli politik yang memaksa warga Lubnan yang menganggur meninggalkan negara ini," kata seorang lelaki yang menunggu berita tentang saudaranya di luar pelabuhan.

Lubnan, sebuah negara dengan kira-kira enam juta penduduk bergelut dengan krisis kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang mana disifatkan Bank Dunia pada skala yang biasanya dikaitkan dengan peperangan.

Mata wang negara itu kehilangan lebih 90 peratus kuasa belinya dan majoriti penduduk hidup di bawah garis kemiskinan.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurang-kurangnya 1,570 orang, 186 daripadanya warga Lubnan, meninggalkan atau cuba keluar secara haram melalui laut dari Lubnan antara Januari dan November 2021.

Kebanyakannya berharap untuk sampai ke Cyprus yang juga ahli Kesatuan Eropah, sebuah pulau yang terletak sejauh 175 kilometer.

Jumlah itu meningkat berbanding 270 penumpang, termasuk 40 orang Lubnan, pada 2019.

Kebanyakan mereka yang cuba meninggalkan Lubnan melalui laut adalah pelarian Syria, namun bilangan warga Lubnan menyertai mereka semakin meningkat. - AFP

Berita Harian X