Rabu, 20 April 2022 | 11:51am
Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare (kiri) dan Menteri Pembangunan Antarabangsa dan Pasifik Australia, Zed Seselja pada ketika menghadiri mesyuarat pada 13 April 2022. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare (kiri) dan Menteri Pembangunan Antarabangsa dan Pasifik Australia, Zed Seselja pada ketika menghadiri mesyuarat pada 13 April 2022. - Foto REUTERS

AS, Australia bimbang perjanjian keselamatan Kepulauan Solomon-China

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS), Jepun, New Zealand dan Australia menyuarakan kebimbangan berhubung perjanjian keselamatan di antara China dan Kepulauan Solomon, kata Rumah Putih dalam satu kenyataan semalam.

"Pegawai mewakili empat negara ini turut berkongsi kebimbangan mengenai cadangan rangka kerja keselamatan di antara Kepulauan Solomon dan Republik Rakyat China (PRC) dan risiko serius terhadap Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Adrienne Watson.

Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare dalam satu kenyataan kepada Parlimen hari ini berkata, pakatan itu tidak akan memberi kesan buruk atau menjejaskan keamanan dan keharmonian di rantau berkenaan.

Sogavare menggesa rakan, rakan kongsi dan negara jirannya menghormati kedaulatan negara berkenaan.

Dalam pada itu, Rumah Putih minggu ini menghantar delegasi pegawai tingginya ke ibu negara Solomon, Honiara.

Sebelum ini, Rumah Putih menyuarakan kebimbangan mengenai 'kurangnya ketelusan berkaitan perjanjian itu'.

Majlis Keselamatan Negara (NSC), berkata AS akan 'memperkukuh pembabitannya di rantau ini untuk menghadapi cabaran abad ke-21, daripada keselamatan maritim dan pembangunan ekonomi kepada krisis iklim dan COVID-19'.

Pegawai Australia berkata, China seolah mahu menghalang ketibaan delegasi AS di Honiara, yang mana Rumah Putih berkata akan membincangkan kebimbangan mengenai China serta pembukaan semula kedutaan AS.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, berkata baru-baru ini rangka kerja perjanjian itu telah ditandatangani oleh Ahli Majlis Negeri, Wang Yi dan Menteri Luar Kepulauan Solomon, Jeremiah Manele.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan di mana atau bila perjanjian itu dimeterai.

Untuk rekod, AS dan Australia sudah sekian lama bimbang mengenai potensi China untuk membina pangkalan tentera laut di Pasifik Selatan, sekali gus membolehkan tentera lautnya menonjolkan kuasa jauh di luar sempadannya. - REUTERS

Berita Harian X