Rabu, 20 April 2022 | 9:21am
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AGENSI
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. - Foto AGENSI

Ketua PBB kecam serangan baru Russia, gesa gencatan senjata

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres semalam mengecam serangan baru Russia di timur Ukraine dan menggesa gencatan senjata selama empat hari untuk menandakan Minggu Suci Ortodoks.

Russia melancarkan berpuluh-puluh serangan udara di seluruh timur Ukraine, ketika fasa baharu konflik berdarah dibuka dengan pertempuran berkecamuk di wilayah Donbas.

"Selain perayaan kehidupan baharu, Easter kali ini bertembung dengan serangan Russia di timur Ukraine," kata Guterres kepada pemberita.

"Ketegangan kuasa dan serangan yang sengit menjadikan pertempuran ini pasti lebih ganas, berdarah dan merosakkan," katanya, menyeru "tempoh kemanusiaan" dari Khamis hingga Ahad Easter pada 24 April.

"Easter adalah musim untuk pembaharuan, kebangkitan dan harapan... Tetapi pada tahun ini, Minggu Suci disambut di bawah awan perang.

"Ratusan ribu nyawa terancam," kata ketua PBB itu,

Angkatan bersenjata Ukraine mengesahkan pertempuran telah meningkat di seluruh timur, selepas Presiden Volodymyr Zelensky berkata, Russia telah memulakan serangan yang dijangkakan secara meluas di Donbas, kawasan perindustrian Ukraine.

Kempen ketenteraan Russia memfokuskan semula kepada Donbas, yang sebahagiannya dikuasai pemisah pro-Moscow sejak 2014, selepas usahanya untuk menawan ibu kota Kyiv dihalang.

Guterres berkata, gencatan senjata akan membolehkan laluan selamat untuk orang awam melarikan diri dari zon perang timur, dan untuk bantuan kemanusiaan dihantar ke kawasan paling teruk terjejas - khususnya bandar Mariupol, Kherson, Donetsk dan Lugansk.

Majlis Keselamatan PBB juga bertemu semula semalam untuk membincangkan situasi kemanusiaan di Ukraine dan negara jiran.

Lebih 12 juta orang telah meninggalkan rumah mereka sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari, ketua Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, Antonio Vitorino memberitahu majlis itu.

Menteri Luar Ireland, Simon Coveney, yang berada di New York, melabelkan serangan Russia sebagai "kegilaan" dan menggesa gencatan senjata segera. - AFP

Berita Harian X