Rabu, 20 April 2022 | 8:48am
Kemasukan ke hospital AS bagi kanak-kanak 5-11 tahun tidak divaksinasi dua kali ganda lebih tinggi. - Foto REUTERS
Kemasukan ke hospital AS bagi kanak-kanak 5-11 tahun tidak divaksinasi dua kali ganda lebih tinggi. - Foto REUTERS

Omicron lebih teruk untuk kanak-kanak 5-11 yang tidak divaksinasi

NEW YORK: Kemasukan ke hospital Amerika Syarikat (AS) membabitkan kanak-kanak yang tidak divaksinasi dalam lingkungan usia lima hingga 11 tahun adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang sudah mendapat suntikan pelalian berkenaan.

Perkara itu dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), semalam berhubung kes COVID-19 ketika varian Omicron melonjak pada musim sejuk.

Kajian terbaharu itu menunjukkan vaksinasi dapat mengurangkan risiko kanak-kanak daripada dimasukkan ke hospital akibat COVID-19, walaupun diakui terdapat beberapa kelemahan membabitkan suntikan itu, antaranya untuk menghentikan jangkitan berpunca daripada varian Omicron.

Bagaimanapun, mengikut laporan CDC, berdasarkan data dari hospital yang menyediakan perkhidmatan perubatan kepada kira-kira 10 peratus penduduk AS di 14 negeri, turut menunjukkan beberapa bukti kukuh setakat ini, bahawa perbezaan kaum dalam vaksinasi kanak-kanak mungkin menyebabkan kanak-kanak kulit hitam lebih terdedah kepada penyakit yang teruk akibat COVID-19.

Kanak-kanak kulit hitam dalam kumpulan umur lima hingga 11 tahun menyumbang kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak yang tidak divaksin dalam kajian itu, iaitu yang terbesar daripada mana-mana kumpulan kaum, dan membentuk kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 bagi kategori umur.

Anggaran berdasarkan data banci pada 2020 menunjukkan kanak-kanak kulit hitam membentuk kira-kira 14 peratus penduduk AS berumur 5 hingga 11 tahun.

"Meningkatkan liputan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak, terutama kumpulan minoriti kaum dan etnik yang terjejas secara tidak seimbang disebabkan COVID-19 adalah penting untuk mencegah kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan COVID-19 dan mendapat jangkitan yang teruk," kata CDC dalam kajian berkenaan.

Agensi itu bagaimanapun tidak melaporkan data di seluruh negara mengenai bangsa atau etnik kanak-kanak yang divaksin, menjadikan sukar bagi penyelidik untuk memeriksa jurang dalam memberikan perlindungan.

Tujuh negeri dan Washington DC, melaporkan data mengikut bangsa untuk kanak-kanak yang divaksin dari umur lima hingga 11 tahun.

Kanak-kanak kulit hitam disuntik pada kadar yang lebih rendah daripada kanak-kanak kulit putih di kebanyakan negeri, menurut analisis dikeluarkan Yayasan Keluarga Kaiser bulan ini.

Dalam pada itu, menurut analisis berkenaan, kanak-kanak Asia cenderung mempunyai kadar vaksinasi tertinggi, manakala kanak-kanak Hispanik disuntik pada kadar yang lebih rendah atau serupa dengan kanak-kanak kulit putih. - AGENSI

Berita Harian X