Sabtu, 16 April 2022 | 8:36pm
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AGENSI
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AGENSI

Ketua PBB gesa perdamaian di Baitulmaqdis selepas pertempuran Palestin-Israel

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres semalam menyuarakan kebimbangan mengenai situasi keselamatan yang semakin merosot di Baitulmaqdis dan menggesa pihak berkaitan meredakan ketegangan, kata jurucakapnya.

Pertempuran meletus antara tentera Israel dan rakyat Palestin di perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis semalam, mengakibatkan lebih 100 orang cedera, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Setiausaha agung menyeru pemimpin dua pihak membantu menenangkan keadaan.

"Provokasi di tapak suci itu, mesti dihentikan bagi mengelakkan ketegangan lebih parah," kata jurucakap, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Guterres mengulangi gesaannya supaya status quo di tapak suci di Baitulmaqdis ditegakkan dan dihormati.

Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Asia Barat, Tor Wennesland kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkepentingan bagi menenangkan keadaan.

Guterres mengulangi komitmennya menyokong rakyat Palestin dan Israel menyelesaikan konflik berdasarkan resolusi PBB berkaitan, undang-undang antarabangsa dan perjanjian dua hala, menurut kenyataan itu.

Ketegangan antara Israel dan Palestin memuncak di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak tiga minggu lalu ketika perayaan Easter serentak dengan Ramadan. - BERNAMA

Berita Harian X