Khamis, 14 April 2022 | 9:00am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Pfizer sasar hasil vaksin COVID-19 untuk semua varian sebelum 2023

GENEVA: Gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer memaklumkan vaksin COVID-19 yang berkesan terhadap pelbagai varian boleh dihasilkan sebelum penghujung 2022.

Pengerusinya, Albert Bourla berkata, firma itu juga sedang berusaha menghasilkan vaksin yang boleh memberikan perlindungan yang baik sepanjang tahun, yang bermaksud orang ramai hanya akan kembali mendapatkan dos penggalak setahun sekali sepertimana suntikan influenza.

"Saya berharap, secara jelas menjelang musim luruh kita sudah memiliki vaksin yang berkesan terhadap bukan sahaja Omicron yang dominan, tetapi semua varian yang diketahui.

"Ia satu kemungkinan untuk kita memilikinya pada masa itu, namun ia bukanlah satu kepastian," katanya pada taklimat media anjuran kumpulan besar farmaseutikal Persekutuan Pengilang dan Persatuan Farmaseutikal (IFPMA).

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah antara pengeluar vaksin yang paling berkesan melawan COVID-19.

Walaupun - seperti suntikan vaksin lain - yang memperlihatkan keberkesanan semakin berkurangan terhadap varian virus Omicron yang kini dominan, Pfizer masih menawarkan perlindungan yang kuat terhadap penyakit yang serius serta kemasukan ke hospital dan kematian.

Bourla berkata, terdapat risiko berlakunya keletihan vaksin, malah turut meramalkan mereka yang menolak peluang divaksinasi akan mengubah fikiran mereka serta mencadangkan lebih ramai kembali untuk mendapatkan dos keempat.

"Apa yang dunia perlukan sebenarnya ialah vaksin yang akan bertahan selama setahun. Saya fikir inilah yang akan menjadi penyelesaian kesihatan awam yang optimum.

"Ia lebih mudah untuk ditadbir dan penduduk akan mematuhinya. Secara teknikalnya ia sangat mencabar untuk melakukannya dengan virus ini, tetapi kami sedang mengusahakannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah IFPMA, Thomas Cueni berkata, dunia perlu belajar untuk hidup dengan virus yang menyebabkan penyakit COVID-19.

"Kita sudah melepasi waktu di mana anda boleh membasmi SARS-CoV-2," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti sejumlah 153 vaksin COVID-19 berada dalam pembangunan klinikal - diuji ke atas manusia - dan 196 lagi dalam pembangunan pra-klinikal.

Namun setakat ini, agensi kesihatan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu hanya membenarkan lapan vaksin dan versinya iaitu yang dibuat oleh Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Janssen, Moderna, Sinovac, Sinopharm, Bharat Biotech dan Novavax. - AGENSI

Dalam pada itu, taklimat IFPMA mengecam cadangan bahawa hak harta intelek ke atas vaksin COVID-19 harus ditarik buat sementara waktu semasa pandemik, dalam usaha meningkatkan pengeluaran.

"Saya terkejut bahawa cadangan penepian IP masih dibahaskan, sedangkan bekalan jauh melebihi permintaan," kata Cueni.

Dengan lebih satu bilion dos vaksin dihasilkan setiap bulan, Pengerusi Eli Lilly, David Ricks menggelarnya sebagai ''penyelesaian mencari masalah", manakala Bourla menjenamakan idea itu "tidak siuman".

Dalam sidang akhbar WHO kemudian, ketua saintis agensi kesihatan PBB, Soumya Swaminathan berkata, keadaan bekalan vaksin bertambah baik secara mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Masalahnya, katanya, lebih kepada logistik dan memastikan dos dapat disuntik ke dalam lengan di banyak negara terutamanya di Afrika, di mana hanya 13 peratus telah sahaja disuntik sepenuhnya.

"Kami kini mampu membekalkan sebanyak mungkin dos yang dimahukan negara-negara, atas permintaan, kepada mereka. Isunya sekarang adalah mengenai penghantaran," katanya. - AGENSI

Berita Harian X