X
Ahad, 10 April 2022 | 5:36pm
Seorang pekerja kesihatan menunjukkan botol vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi di Santiago, Chile. - Foto AFP
Seorang pekerja kesihatan menunjukkan botol vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi di Santiago, Chile. - Foto AFP

Bekalan vaksin atasi permintaan, namun ketidaksamaan akses kekal

PARIS: Selepas dua tahun dunia berlumba-lumba untuk memvaksin penduduk negara masing-masing terhadap COVID-19, kini berlaku lebihan dos tersedia yang mengatasi permintaan di banyak kawasan.

Namun jurang perbezaan kekal dalam kadar vaksinasi antara negara kaya dan miskin.

Jumaat lalu, Pakatan Vaksin Global (GAVI), yang mengetuai projek perkongsian vaksin COVID-19 global (COVAX), mengadakan sidang kemuncak yang memohon lebih banyak dana untuk menangani isu ketidaksamaan dalam akses vaksin.

Menurut Persekutuan Pengilang dan Persatuan Farmaseutikal Antarabangsa (IFPMA), lebih 13 bilion dos dihasilkan sejak bermulanya pandemik, dengan 11 bilion daripadanya sudah diagihkan.

Kumpulan penyelidikan Sains, Airfinity menjangkakan sembilan bilion dos lagi akan dihasilkan tahun ini, manakala Pfizer sahaja merancang untuk membuat empat bilion dos.

Ketua Pengarah IFPMA, Thomas Cueni, bagaimanapun berkata, permintaan boleh merudum kepada enam bilion dos tahun ini.

"Sejak pertengahan 2021, penghasilan vaksin global sudah melebihi permintaan vaksin global dan jurang ini terus meningkat," katanya kepada AFP.

Menjelang tahun depan, katanya, penghasilan boleh melebihi permintaan sebanyak 1.3 hingga 3.1 bilion dos.

Banyak negara kaya kini menghampiri masalah mempunyai lebihan bekalan.

Kesatuan Eropah (EU) dan negara G7 dilaporkan mempunyai lebihan sebanyak 497 juta dos pada akhir bulan lalu.

Justeru, ia menimbulkan kebimbangan bahawa lebihan dos hanya akan terbazir begitu sahaja.

Ini kerana, vaksin COVID-19 mempunyai jangka hayat yang agak pendek termasuk AstraZeneca yang tarikh luput selama enam bulan, manakala vaksin Novavax mempunyai jangka hayat sembilan bulan di EU.

Menurut Airfinity, sebanyak 241 juta dos sudah melepasi tarikh jualan mengikut tarikh semasa wabak itu.

Begitupun, berbilion-bilion orang kekal tidak divaksinasi di seluruh dunia, kebanyakannya di negara membangun.

COVAX, iaitu perkongsian awam-swasta antarabangsa yang diketuai bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan GAVI, menyampaikan 1.4 bilion dos kepada 145 negara, namun jauh lebih rendah daripada dua bilion dos yang dirancang menjelang akhir 2021.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa ketidaksamaan dalam akses vaksin boleh membawa kepada kemunculan varian baharu yang mungkin lebih menular.

Justeru, WHO mahu 70 peratus daripada setiap penduduk negara diberi vaksin menjelang Julai ini. - AFP

Berita Harian X