Khamis, 17 March 2022 | 10:45am

Pakar saran keperluan bangunkan vaksin baharu untuk Omicron

WASHINGTON: Pengambilan dos keempat vaksin COVID-19 boleh membantu meningkatkan antibodi penerima tiga dos awal yang semakin neutral disebabkan peredaran masa, sekali gus menyekat virus daripada menjangkiti sel.

Keputusan kajian dijalankan Israel yang diterbitkan melalui Jurnal Perubatan New England semalam, bagaimanapun menyatakan suntikan dos keempat mRNA vaksin COVID-19 dipercayai menyumbang hanya sedikit manfaat bagi golongan dewasa yang lebih muda dan sihat.

Kajian itu membabitkan penilaian terhadap 270 pekerja penjagaan kesihatan di Pusat Perubatan Sheba di Tel Aviv yang menerima dos penggalak kedua sama ada vaksin Pfizer atau Moderna, empat bulan selepas mendapat tiga suntikan Pfizer.

Mereka dipecahkan kepada dua kumpulan usia yang menerima tiga dos Pfizer, dengan umur median dalam kumpulan antara pertengahan lima puluhan hingga awal enam puluhan.

Kajian dijalankan ketika penyebaran varian Omicron berleluasa di Israel dan mendapati dos keempat tidak memberikan perlindungan tambahan terhadap jangkitan, walaupun antibodi berkurangan dari semasa ke semasa dalam kalangan mereka yang hanya menerima tiga suntikan.

Mereka yang mendapat suntikan keempat Pfizer adalah 30 peratus kurang berkemungkinan mendapat jangkitan berbanding yang mendapat tiga dos, manakala mereka yang mengambil suntikan Moderna adalah 18 peratus kurang berkemungkinan dijangkiti.

Namun kajian itu hanya membabitkan sebilangan kecil peserta dan bukannya percubaan secara rawak, sekali gus bermakna kesimpulannya harus ditafsirkan berhati-hati, walaupun hasilnya menunjukkan manfaat kecil daripada dos tambahan.

Perlindungan terhadap jangkitan gejala adalah sedikit lebih baik membabitkan penerima dewasa berusia bawah 40 tahun sekiranya menerima dos keempat, manakala 43 peratus untuk Pfizer dan 31 peratus untuk Moderna, berbanding individu yang menerima tiga suntikan.

Penulis kajian diketuai Gili Regev-Ychay mendapati, penyelidikan mereka menunjukkan kelebihan tiga dos vaksin yang direka terhadap strain asal COVID-19 mencapai siling dari segi tindak balas imun, dengan dos penggalak tambahan sekadar memulihkan imuniti yang berkurangan berbanding membawanya ke tahap yang baharu.

"Tambahan pula, kita melihat keberkesanan vaksin yang rendah terhadap jangkitan dalam pekerja penjagaan kesihatan, serta bebanan virus yang agak tinggi menunjukkan mereka yang dijangkiti boleh menjangkitkannya kepada pihak lain.

"Sehubungan itu, dos keempat bagi pekerja penjagaan kesihatan muda yang sihat mungkin hanya mempunyai sedikit kesan," katanya.

Susulan perkembangan itu, pakar luar berpendapat penemuan berkenaan menunjukkan keperluan untuk membangunkan vaksin baharu.

Pakar virologi klinikal di Universiti Leicester, Julian Tang berkata, sekiranya Omicron terus merebak dengan penggunaan vaksin COVID-19 generasi pertama diteruskan, maka pihaknya bersetuju manfaat kepada orang muda yang sihat dan lebih muda adalah kecil.

Suntikan dos keempat akan lebih memberi manfaat kepada individu yang lebih berusia dan kumpulan rentan.

"Sebaik-baiknya, kita memerlukan vaksin COVID-19 baharu yang direka khusus terhadap Omicron jika ingin menambah baik perlindungan ini bagi mereka yang paling terdedah dengan cara sama seperti kita mengemas kini vaksin selsema bermusim setiap tahun.

"Ia untuk memastikan perlindungan sebaik mungkin terhadap virus yang sedang merebak," katanya.

Ends

Berita Harian X