Selasa, 15 March 2022 | 11:01am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Vaksin mRNA bantu wanita menyusu pindahkan antibodi kepada bayi

NEW YORK: Vaksin COVID-19 berasaskan mRNA pilihan paling optimum untuk wanita menyusu apabila ingin memindahkan antibodi daripada susu ibu kepada bayi mereka.

Kesimpulan dibuat penyelidik susulan kajian ke atas 124 wanita menyusu yang menyediakan setiap seorang 17 sampel susu dalam tempoh 100 hari, yang mana mereka sudah menerima sama ada vaksin mRNA atau vaksin berasaskan vektor daripada Johnson & Johnson atau AstraZeneca.

Kajian dilaporkan dalam JAMA Pediatrics itu menyatakan, perlindungan vaksin dalam susu ibu paling kuat selepas suntikan teknologi mRNA seperti Moderna atau Pfizer.

Penyelidik juga mengukur dua jenis antibodi dalam sampel susu - antibodi IgA dan antibodi IgG, yang kedua-duanya dianggap memainkan peranan penting dalam melindungi bayi yang disusukan.

Hampir semua (96 hingga 97 peratus) wanita yang menerima kedua-dua dos vaksin mRNA mempunyai antibodi IgA yang boleh dikesan dalam susu badan mereka, manakala hanya 39 peratus mempunyai antibodi dalam susu selepas dua dos suntikan AstraZeneca dan 48 peratus selepas satu dos vaksin Johnson & Johnson.

Semua wanita yang menerima kedua-dua dos vaksin Pfizer/BioNTech, Moderna atau AstraZeneca mempunyai antibodi IgG, berbanding hanya 28 peratus wanita yang menerima suntikan Johnson & Johnson.

Dalam pada itu, hasil data dikumpulkan daripada 21 kajian awal dijalankan di Eropah, Asia, Australia dan Amerika Selatan mendapati seorang daripada empat kanak-kanak dijangkiti COVID-19 dilapor mengalami gejala berpanjangan akibat 'Long COVID-19.

Penyelidik melalui Laman web berasaskan sains kesihatan, medRxiv, melaporkan kajian terhadap 80,071 kanak-kanak dengan COVID-19, mendapati 25 peratus akan mengalami gejala sekurang-kurangnya empat hingga 12 minggu, atau gejala berterusan baharu yang muncul dalam tempoh 12 minggu.

Masalah paling kerap berlaku adalah neuropsikiatri (simptom mood, keletihan, gangguan tidur, sakit kepala, perubahan kognitif, pening, masalah keseimbangan), kardiorespiratori (kesukaran bernafas, kesesakan, intoleransi senaman, sakit dada dan sesak, batuk, degupan jantung tidak teratur), berkaitan masalah kulit (berpeluh berlebihan, kegatalan, keguguran rambut) dan gastrousus (sakit perut, sembelit, cirit-birit, muntah dan loya).

Bagaimanapun penyelidik mengakui, analisis data dikumpulkan daripada banyak kajian berbeza dengan metodologi yang berbeza tidak dapat menghasilkan kesimpulan yang kukuh.

Pengarang bersama kajian, Sonia Villapol dari Houston Methodist Research Institute di Texas berkata, apa yang jelas ialah kanak-kanak dan remaja juga mempunyai kesan kesihatan fizikal dan mental diperoleh daripada COVID-19.

Laporan di bioRxiv pada Khamis lalu pula mendapati, zarah Omicron kekal berjangkit pada permukaan untuk tempoh lebih lama berbanding zarah asal SARS-CoV-2.

Pada permukaan licin seperti kaca, keluli tahan karat dan kepingan plastik, Omicron masih berjangkit selepas tujuh hari, manakala zarah asal SARS-CoV-2 tidak lagi berjangkit pada kepingan keluli tahan karat dan plastik pada hari keempat dan pada kaca pada hari ketujuh.

Pada kertas tisu dan kertas cetakan, virus asal itu tidak lagi berjangkit pada 30 minit, namun Omicron masih berjangkit pada 30 minit, tetapi tiada selepas sejam.

Pengarang bersama kajian, Leo Poon dari Universiti Hong Kong berkata, sebahagian besar SARS-CoV-2 disebarkan melalui titisan pernafasan di udara, namun jangkitan melalui sentuhan dengan permukaan tercemar adalah kurang berlaku dan kajian baharu itu menyerlahkan kepentingan kebersihan tangan dan pembersihan pada permukaan yang kerap disentuh oleh orang yang berbeza. - REUTERS

Berita Harian X