Rabu, 9 March 2022 | 5:03pm
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. -Foto AFP
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. -Foto AFP

PBB kesal vaksin tidak diagih secara saksama

AMERIKA SYARIKAT: Biarpun sudah melanda dunia lebih dua tahun, pandemik COVID-19 belum berakhir dan mungkin berlarutan lagi berikutan pengagihan vaksin yang 'tidak sama rata', kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Antonio Guterres dalam satu kenyataan memperingati ulang tahun kedua kesihatan global berkata, sehingga kini 446 juta kes dengan enam juta dilaporkan.

"Ia adalah satu angka kematian yang paling tragis yang menjejaskan kesihatan ramai dan mengakibatkan kehilangan berjuta-juta nyawa dengan lebih 446 juta kes di seluruh dunia serta enam juta kematian disahkan, selain jumlah yang tidak terkira mereka yang bergelut dengan kesihatan mental yang semakin teruk.

"Begitupun, kita berterima kasih di atas langkah kesihatan awam yang tidak pernah berlaku sebelum ini di samping pembangunan dan pengagihan vaksin yang sangat pesat, dengan kebanyakan bahagian dunia berjaya mengawal pandemik ini," katanya.

Namun, pada masa sama, beliau menyifatkan, ia sesuatu kesilapan besar untuk mengandaikan pandemik COVID-19 sudah tamat.

Guterres menegaskan, pengagihan vaksin adalah kekal tidak sama rata.

"Walaupun 1.5 bilion dos vaksin dihasilkan setiap bulan, masih ada tiga bilion orang menunggu suntikan pertama mereka.

"Kegagalan ini adalah akibat langsung daripada keputusan dasar dan belanjawan yang mengutamakan kesihatan orang di negara kaya berbanding kesihatan orang di negara miskin," katanya.

Katanya lagi, pemulihan dua peringkat itu adalah 'resipi untuk lebih banyak variasi, lebih banyak penutupan dan lebih banyak kesedihan dan pengorbanan di setiap negara.

"Kenyataan itu diakhiri dengan seluruh dunia digesa untuk 'mendedikasikan semangat untuk menamatkan pandemik ini serta mengakhiri peristiwa menyedihkan dalam sejarah manusia, sekali dan untuk selamanya. - AFP

Berita Harian X