Selasa, 8 March 2022 | 5:08pm
Moderna merancang membangun dan memulakan ujian vaksin, menyasarkan 15 daripada patogen paling membimbangkan dunia menjelang 2025. - Foto REUTERS
Moderna merancang membangun dan memulakan ujian vaksin, menyasarkan 15 daripada patogen paling membimbangkan dunia menjelang 2025. - Foto REUTERS

Moderna bangunkan vaksin untuk 15 kemungkinan wabak masa depan

NEW YORK: Moderna semalam berkata, ia merancang membangun dan memulakan ujian vaksin, menyasarkan 15 daripada patogen paling membimbangkan dunia menjelang 2025.

Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) itu juga akan mengetepikan secara kekal paten vaksin COVID-19 bagi suntikan untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana tertentu.

Moderna berkata, akan menjadikan teknologi mRNA tersedia kepada penyelidik yang mengusahakan vaksin baharu bagi penyakit baharu muncul dan diabaikan melalui program dikenali mRNA Access.

Strateginya itu diumumkan menjelang Sidang Kemuncak Kesiapsiagaan Pandemik Global tajaan Kerajaan United Kingdom (UK) dan Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI), gabungan antarabangsa yang ditubuhkan lima tahun lalu bagi persediaan menghadapi ancaman penyakit masa depan.

Moderna sudah pun bekerjasama dengan rakan kongsi bagi vaksin untuk sebahagian daripada 15 patogen, termasuk Chikungunya, demam berdarah Crimean-Congo, Denggi, Ebola, Malaria, Marburg, demam Lassa, MERS dan COVID-19.

Presidennya, Stephen Hoge, dalam satu temu bual berkata, kerjasama itu termasuk vaksin virus Nipah dengan Institut Kesihatan Kebangsaan AS dan vaksin HIV bersama Yayasan Gates dan Inisiatif Vaksin AIDS Antarabangsa.

Katanya, syarikat itu sama ada akan mencari rakan kongsi baharu untuk vaksin yang lain atau membangunkannya secara dalaman.

Sementara itu, Ketua Eksekutifnya, Stephane Bancel, pada sesi taklimat media secara maya semalam berkata, 15 virus itu adalah ancaman diketahui yang belum ditangani banyak syarikat pembuat ubat besar.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 yang membunuh enam juta orang di seluruh dunia dan menjejaskan jutaan lagi, perlu diubah.

"Terlalu banyak nyawa terkorban beberapa tahun ini," katanya.

Ketika awal pandemik COVID-19, Moderna berjanji untuk tidak menguatkuasakan paten vaksinnya semasa fasa kecemasan krisis kesihatan.

Ia membolehkan pembangunan kilang pembuatan vaksin di Afrika yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai sebahagian daripada projek perintis untuk memberi negara miskin dan berpendapatan sederhana pengetahuan membuat vaksin COVID-19.

Moderna berkata, ia akan menjadikan ikrar itu kekal untuk 92 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang layak menerima bantuan di bawah Komitmen Pasaran COVAX Advance (AMC) diketuai Pakatan Vaksin Global (GAVI). - REUTERS

Berita Harian X