Isnin, 28 Februari 2022 | 11:00am
Penerbangan syarikat Russia, Aeroflot di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, Jerman. - Foto EPA
Penerbangan syarikat Russia, Aeroflot di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, Jerman. - Foto EPA

Aeroflot gantung penerbangan ke Eropah

MOSCOW: Syarikat penerbangan utama Russia semalam mengumumkan untuk menggantungkan semua penerbangan ke Eropah, selepas Kesatuan Eropah (EU) menutup ruang udaranya kepada pesawat Russia susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Pengumuman itu dibuat selepas EU semalam mengatakan akan menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan Russia, menambah sekatan yang dikenakan ke atas Russia, selepas serangannya ke atas Ukraine.

"Aeroflot menggantung penerbangan laluan Eropah dari 28 Februari 2022 sehingga notis selanjutnya," kata syarikat itu di laman webnya.

Larangan ruang udara EU itu melarang penerbangan masuk atau melalui EU bagi semua pesawat Russia, termasuk jet peribadi.

Langkah itu menyatukan apa yang sudah dilaksanakan, dengan kebanyakan daripada 27 negara EU sudah mengumumkan penutupan ruang udara kepada penerbangan Russia secara individu.

Sebagai tindak balas, Russia turut melarang penerbangan dari beberapa negara seperti Britain, Latvia, Lithuania, Estonia, Slovenia, Bulgaria, Poland dan Republik Czech. - AFP

Pesawat Aeroflot berlepas dari Lapangan Terabang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow. - Foto hiasan REUTERS
Pesawat Aeroflot berlepas dari Lapangan Terabang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow. - Foto hiasan REUTERS

Berita Harian X