Rabu, 23 Februari 2022 | 4:06pm
Orang ramai berbaris untuk menerima vaksin COVID-19 di Hospital Rujukan Daerah Narok, di Narok, Kenya. - Foto REUTERS
Orang ramai berbaris untuk menerima vaksin COVID-19 di Hospital Rujukan Daerah Narok, di Narok, Kenya. - Foto REUTERS

Bekalan vaksin COVAX mengatasi permintaan buat kali pertama

BRUSSELS/LONDON: Projek perkongsian vaksin COVID-19 global, COVAX bergelut untuk mengagihkan lebih 300 juta dos pelalian itu, menjadikan ia petanda terkini masalah program vaksinasi dunia yang sedang berdepan dengan isu lebih permintaan berbanding pembekalan.

Tahun lalu, negara kaya 'membolot' kebanyakan dos tersedia untuk memvaksin warga mereka terlebih dahulu.

Ini bermaksud, kurang satu pertiga orang di negara berpendapatan rendah sudah divaksin setakat ini, berbanding lebih 70 peratus di negara kaya.

Ketika bekalan dan sumbangan meningkat, bagaimanapun, negara paling miskin berdepan kekangan seperti kekurangan rantaian penyimpanan sejuk, keraguan vaksin, kekurangan wang untuk menyokong rangkaian agihan, kata pegawai kesihatan awam kepada Reuters.

Januari lalu, COVAX yang dikelolakan oleh Pakatan Vaksin Global (GACI) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempunyai 436 juta vaksin untuk diperuntukkan ke negara, menurut satu dokumen yang diterbitkan pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, negara berpendapatan rendah hanya memohon 100 juta dos untuk diagihkan pada hujung Mei ini.

Ia adalah kali pertama dalam 14 pusingan peruntukan mengatasi permintaan, mengikut dokumen Kumpulan Peruntukan Vaksin Bebas COVAX.

Diminta mengulas isu berbangkit, jurucakap GAVI berkata, COVAX sekarang ini dalam situasi di mana mempunyai bekalan terkini mencukupi untuk memenuhi permintaan, tetapi menyedari bahawa agihan vaksin adalah satu isu di beberapa negara kurang membangun.

"Kita hanya akan menutup jurang ekuiti vaksin sekali dan untuk semua jika kita mampu membantu beberapa negara untuk mengagihkan vaksin dengan cepat dan pada skalanya," kata jurucakap itu.

Vaksin yang tidak diberikan COVAX pada pusingan ini boleh diperuntukkan lagi kemudiannya.

Sementara negara kaya sedang membuka sektor ekonomi mereka, WHO dan pakar kesihatan awam memberi amaran bahwa agihan perlahanan vaksin di negara paling miskin akan mengakibatkan coronavirus berpeluang untuk bermutasi lagi dan berpotensi menghasilkan varian baharu.

Permintaan rendah vaksin pada peruntukan Januari adalah sebahagiannya sudahpun diperjelaskan dengan peningkatan bekalan kebelakangan ini.

COVAX sudahpun memperuntukkan puluhan juta dos yang akan dihantar pada suku pertama dan menghantar dos yang mencecah angka bilion pertamanya pada Januari.

Menurut pegawai yang terbabit dengan pengagihan vaksin, ini bermakna negara-negara enggan mengambil lebih banyak dos yang mereka tidak akan dapat gunakan.

Satu sidang kemuncak untuk menangani cabaran agihan vaksin akan berlangsung hari ini di Abuja, Nigeria.

Ia dianjurkan oleh Pakatan Penghantaran Vaksin Afrika bersama WHO, GAVI dan pihak berkaitan di rantau itu. - REUTERS

Berita Harian X