Ahad, 20 Februari 2022 | 1:18pm
Kajian oleh Merck tahun lalu mendapati bahawa ubat itu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 30 peratus. - Foto REUTERS
Kajian oleh Merck tahun lalu mendapati bahawa ubat itu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 30 peratus. - Foto REUTERS

Pil keluaran Merck berupaya kurangkan risiko kemasukan ke hospital

NEW YORK: Kajian baharu oleh kumpulan penyelidik India mendapati pil antiviral molnupiravir mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital disebabkan COVID-19 sebanyak 65 peratus dengan tahap keberkesanannya lebih tinggi berbanding penyelidikan sebelumnya.

Kajian yang diketuai oleh kumpulan penyelidik di Kajian Antiviral Chennai dan Tapak Penyelidikan Klinikal Rawatan memecahkan seramai 1,218 orang dewasa India yang dijangkiti COVID-19 dan mengalami gejala ringan kepada kumpulan yang bersaiz setanding.

Hanya 1.5 peratus daripada kumpulan yang mengambil pil itu perlu dimasukkan ke hospital, berbanding 4.3 peratus daripada kumpulan yang tidak menerima ubat berkenaan.

Kajian oleh Merck yang membangunkan pil itu dengan bantuan Ridgeback Biotherapeutics pada tahun lalu mendapati, ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 30 peratus.

Kajian terdahulu mempunyai beberapa perbezaan yang menyukarkan perbandingan, kata Naib Presiden Kanan Merck Research Laboratories, Dr Eliav Barr, dalam satu temu bual semalam.

Menurut Barr, peserta dalam kajian Merck berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi selepas diagnosis COVID-19.

Kajian itu turut dijalankan secara global termasuk bagi pesakit yang berdepan jangkitan ringan dan sederhana.

Kajian oleh India itu tidak menyasarkan pesakit berisiko tinggi.

"Terdapat banyak persamaan dalam kajian ini, kedua-duanya menunjukkan pengurangan kemasukan ke hospital.

"Kedua-dua kajian juga menunjukkan pengurangan jumlah virus yang anda boleh kesan dalam hidung, daripada sebelum sehingga selepas rawatan.

Ia turut menunjukkan penambahbaikan ketara dalam penyelesaian gejala," katanya.

Pil antiviral seperti molnupiravir dan Paxlovid keluaran Pfizer berpotensi digunakan lebih ramai pesakit berbanding rawatan antibodi yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat (AS) untuk pesakit COVID-19 berisiko tinggi.

Sejak wabak COVID-19 melanda, saintis mengharapkan rawatan mudah yang boleh didapati dengan preskripsi doktor dan dipasarkan di farmasi tempatan. - AGENSI

Berita Harian X