Sabtu, 19 Februari 2022 | 5:49pm
Seorang wanita menjalani ujian COVID-19 di Sydney, Australia. - Foto REUTERS
Seorang wanita menjalani ujian COVID-19 di Sydney, Australia. - Foto REUTERS

Australia catat 43 kematian harian COVID-19

SYDNEY: Australia merekodkan 43 kematian berkaitan COVID-19 hari ini, ketika bersedia mengalu-alukan pelancong antarabangsa buat julung kali Isnin ini selepas hampir dua tahun sempadan ditutup.

Australia menutup sempadannya pada Mac 2020 dan dibuka semula secara berperingkat sejak November lalu, membenarkan rakyatnya melancong, diikuti pelajar, pekerja antarabangsa dan kini pelancong.

Pernah menjuarai strategi sifar COVID-19, Australia kemudian beralih untuk hidup dengan virus itu dalam komuniti, terutama selepas mencapai kadar vaksinasi tinggi, menyebabkan kes kurang teruk dan kadar kemasukan ke hospital lebih rendah.

Malah, Australia Barat, negeri industri perlombongan berat yang mengekalkan kawalan sempadan ketat hampir 700 hari, memutuskan boleh menghadapi varian Omicron serta dibuka semula kepada pelawat yang sudah menerima dos penggalak.

Negeri itu semalam merekodkan 257 jangkitan komuniti baharu, sekali gus muncul kadar tertinggi tetapi tiada kematian.

Kebanyakan kes kematian dilaporkan di New South Wales, Victoria dan Queensland, negeri yang terus melihat beberapa ribu kes harian.

Victoria, negeri berpenduduk kedua paling ramai di Australia, akan membuka hab kuarantin baharu untuk penduduk antarabangsa yang tidak divaksin, Isnin ini.

"Varian Omicron menunjukkan kami perlu terus anjal dalam tindak balas pandemik dan (hab) dibina khas akan menjadi penting untuk kaedah pengurusan hari ini dan masa hadapan," kata Lisa Neville, menteri bertanggungjawab bagi kuarantin.

Pengembara, warga Australia dan antarabangsa lengkap divaksin, tidak perlu dikuarantin di kemudahan terurus.

New Zealand, jiran terdekat Australia, yang memastikan sempadan antarabangsanya hampir ditutup sepenuhnya, merekodkan 1,901 kes komuniti, antara jumlah harian tertinggi. - REUTERS

Berita Harian X