Jumaat, 11 Februari 2022 | 2:12pm
Seorang wanita menjalani ujian COVID-19 di Sydney, Australia. - Foto REUTERS
Seorang wanita menjalani ujian COVID-19 di Sydney, Australia. - Foto REUTERS

Rakyat Australia wajib dapatkan dos penggalak untuk status vaksinasi lengkap

SYDNEY: Penduduk Australia perlu mendapatkan suntikan dos penggalak untuk mendapat status vaksinasi lengkap COVID-19 tetapi pelancong asing kekal memerlukan hanya dua suntikan untuk memasuki negara itu.

Semalam, Kabinet kebangsaan Australia mengesahkan garis panduan yang disemak daripada kumpulan penasihat vaksin negara itu bagi menetapkan status terkini inokulasi yang kini merangkumi dos penggalak.

Perdana Menteri, Scott Morrison, berkata status vaksinasi seseorang dianggap 'tamat tempoh tempoh' jika mereka tidak menerima dos penggalak dalam tempoh enam bulan daripada tarikh suntikan dos kedua.

Pihak berkuasa Australia mewajibkan vaksin hanya untuk beberapa pekerja barisan hadapan, tetapi banyak perniagaan swasta, termasuk syarikat besar, restoran dan peruncit, mewajibkan inokulasi untuk memasuki premis masing-masing.

Untuk rekod, Australia antara negara yang paling tinggi liputan vaksinasi di dunia dengan 94 peratus rakyatnya berumur 16 tahun ke atas sudah menerima dua dos vaksin.

Setakat ini, hampir 10 juta dos penggalak diberikan kepada penduduk di Australia.

Keputusan untuk mengekalkan syarat lengkap dua dos vaksin bagi pelawat yang memasuki negara itu hanya dibuat ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk membuka semula sepenuhnya sempadan Australia.

Negara itu hanya membuka sempadan sekarang selepas ditutup kira-kira dua tahun sejak COVID-19 mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019, untuk memperlahankan penularan wabak berkenaan.

Sebagaimana keadaan di negara lain, Australia juga berusaha menangani penularan pantas varian COVID-19 Omicron.

Pihak berkuasa melaporkan, jumlah jangkitan baharu mencatatkan penurunan kepada 26,000 kes hari ini berbanding 30,000 kes semalam dengan Barat Australia dan Wilayah Utara masih perlu membuat laporan.

Sebahagian besar daripada jumlah wabak Australia iaitu sekitar 2.7 juta kes, dikesan sejak kemunculan varian Omicron pada akhir November manakala jumlah kematian setakat hari ini kekal 4,479 kes. - REUTERS

Berita Harian X