Khamis, 10 Februari 2022 | 3:58pm
Lithuania menghadapi halangan perdagangan tidak rasmi dan penurunan hubungan diplomatik dengan China selepas membenarkan Taiwan membuka pejabat perwakilan di ibu negaranya. - Foto REUTERS
Lithuania menghadapi halangan perdagangan tidak rasmi dan penurunan hubungan diplomatik dengan China selepas membenarkan Taiwan membuka pejabat perwakilan di ibu negaranya. - Foto REUTERS

Lithuania gesa dunia bangkit tentang China, Russia

CANBERRA: Diplomat tertinggi Lithuania menggesa dunia supaya menentang China dan Russia yang didakwa melanggar hak asasi manusia ketika lawatannya ke Australia, sambil mengakui tindakan itu memerlukan kos.

Menteri Luarnya, Gabrielius Landsbergis yang memberitahu Kelab Akhbar Nasional di Canberra berkata, banyak negara perlu mengurangkan kebergantungan perdagangan dan tenaga mereka terhadap apa yang disifatkannya sebagai 'penghalang perintah global'.

Katanya, terdapat keperluan untuk mengukuhkan perkongsian 'antara demokrasi liberal yang membina dan mengekalkan perintah dunia berasaskan peraturan'.

Lithuania berdepan halangan tidak rasmi perdagangan dan penurunan taraf hubungan diplomatik dengan China selepas negara itu membenarkan Taiwan membuka pejabat kedutaannya di ibu negaranya, tindakan yang dianggap Beijing melanggar prinsip 'Satu China'.

Australia sebelum ini berdepan isu perdagangan yang sama dengan China sejak beberapa tahun, termasuk kelewatan kastam dan tarif yang tinggi.

Kenyataan Landsbergis itu dibuat sehari sebelum mesyuarat menteri luar negeri Quad di Melbourne, sebuah perkongsian keselamatan yang terdiri daripada Australia, Jepun, India dan Amerika Syarikat.

Kesemua negara itu dijangka membincangkan isu keselamatan siber dan wilayah sebagai sebahagian daripada fokus kumpulan yang lebih meluas untuk menentang kebangkitan tentera China, walaupun Russia mungkin meningkatkan ketenteraan di atas kapal dengan Ukraine.

Presiden Russia, Vladimir Putin sebelum ini berulang kali menafikan negaranya merancang untuk menyerang Ukraine selain turut mengkritik pengumpulan tentera daripada pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran sempadan negaranya.

Ketika ditanya mengenai dunia 'kurang memberikan maklum balas konkrit' terhadap ketegangan di sempadan Ukraine dan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang meluas di wilayah Xinjiang China, beliau memberikan jawapan, orang ramai tidak 'berdiam diri' mengenai isu terbabit.

"Ada orang yang tidak mahu masalah itu dibincangkan," katanya sambil mengatakan satu-satunya cara untuk mengubahnya adalah terus 'membangkitkan isu itu'.

Mengenai isu mengeluarkan buruh paksa daripada rantaian bekalan, katanya ia akan meningkatkan harga barangan pengguna.

"Tidak mungkin apabila kita menyelesaikannya, ia akan menjadi percuma. Akan ada kos perlu dibayar oleh semua orang.

"Perkara ini memerlukan kos, tetapi juga kos asas," katanya.

China bagaimanapun menafikan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia dan buruh paksa di Xinjiang, bahkan mengkritik beberapa negara seperti Perancis, Britain, Kanada dan terbaharu, Jepun kerana meluluskan resolusi parlimen mengenai perkara itu.

Landsbergis yang berada di Australia untuk membuka pejabat kedutaan Lithuania baharu, berkata beliau 'tidak akan terkejut' jika negara lain mengikutinya dalam bergerak ke arah meningkatkan hubungan diplomatik mereka dengan Taiwan.

"Saya tidak rasa Lithuania bersendirian dalam hal ini," katanya. - BLOOMBERG

Berita Harian X