Selasa, 8 Februari 2022 | 12:40pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto fail AFP
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto fail AFP

PM Ardern beri amaran lebih banyak varian COVID-19 pada 2022

WELLINGTON: Pandemik COVID-19 tidak akan berakhir dengan varian Omicron, sebaliknya Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, menegaskan negara perlu bersiap sedia menghadapi lebih banyak varian pada tahun ini.

Amaran itu dikeluarkan ketika ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Parlimen, menuntut kerajaan menamatkan sekatan COVID-19 dan mandat vaksin.

"Tuan Speaker, nasihat daripada pakar bahawa Omicron bukan varian terakhir yang kita akan tempuhi tahun ini.

"Itu tidak berakhir. Tetapi itu bukan bermaksud kita tidak boleh bergerak ke hadapan dan melakukan kemajuan," katanya pada sidang Parlimen pertama tahun ini, yang disiarkan secara langsung.

Kerajaan pimpinan Ardern menguatkuasakan beberapa sekatan pandemik paling ketat di New Zealand sejak dua tahun lalu sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

Dasar yang diperkenalkan membantu mengurangkan jangkitan dan kematian.

Negara berpopulasi lima juta penduduk itu ketika ini merekodkan sekitar 18,000 kes positif dan 53 kematian.

Ia turut menimbulkan kemarahan orang ramai kerana perlu berdepan dengan pengasingan di rumah seperti tiada kesudahan, manakala puluhan ribu ekspatriat warga New Zealand terpisah dengan keluarga kerana sempadan masih ditutup.

Langkah itu menjejaskan perniagaan yang bergantung kepada pelancong antarabangsa.

Tinjauan umum dijalankan 1News Kantar terhadap kedudukan Ardern seperti diterbitkan bulan lalu, menunjukkan penarafan kelulusan ke atas pemimpin wanita itu menjunam berikutan isu kelewatan vaksinasi dan pemansuhan sekatan berkaitan pandemik.

Ratusan penunjuk perasaan antivaksin dan antikerajaan berhimpun di luar Parlimen, menuntut kerajaan menamatkan kesemua sekatan berkaitan pandemik.

Kerajaan pada minggu lalu berkata, negara hanya akan membuka semula sempadannya kepada negara luar secara berperingkat bermula Oktober.

Kemunculan varian Omicron turut menyebabkan negara itu mengalami peningkatan berterusan kes jangkitan sejak beberapa langkah seperti penjarakan sosial dimansuhkan baru-baru ini.

New Zealand merekodkan angka harian tertinggi dengan 243 kes pada Sabtu lalu.

Ardern memberitahu stesen radio New Zealand bahawa negara bakal menyaksikan peningkatan memuncak kes jangkitan harian sekitar 10,000 hingga 30,000, didorong varian Omicron. - REUTERS

Berita Harian X