Sabtu, 5 Februari 2022 | 4:13pm
Satu kajian di AS terhadap dos penggalak COVID-19 mendapati dos penggalak spesifik untuk Omicron tidak menunjukkan perbezaan ketara dari segi perlindungan. - Foto REUTERS
Satu kajian di AS terhadap dos penggalak COVID-19 mendapati dos penggalak spesifik untuk Omicron tidak menunjukkan perbezaan ketara dari segi perlindungan. - Foto REUTERS

Kajian dapati dos penggalak khusus untuk Omicron tidak diperlukan

CHICAGO: Satu kajian di Amerika Syarikat (AS) terhadap dos penggalak COVID-19 keluaran Moderna Inc menggunakan monyet mendapati dos penggalak spesifik untuk Omicron tidak menunjukkan perbezaan ketara dari segi perlindungan.

Ia secara tidak langsung menunjukkan dos penggalak yang khusus untuk Omicron mungkin tidak diperlukan.

Kajian itu dilaksanakan dengan beberapa monyet yang disuntik dua dos vaksin Moderna, diberikan vaksin konvensional Moderna atau dos penggalak Moderna yang dikhususkan untuk Omicron, sembilan bulan kemudian.

Penyelidik menguji pelbagai aspek dalam tindak balas imun haiwan itu dan mendedahkan mereka dengan virus berkenaan.

Kajian yang diterbitkan di bioRxiv itu mendapati kedua-dua dos penggalak menghasilkan peningkatan tindak balas peneutral antibodi yang sama dan signifikan terhadap semua varian membimbangkan, termasuk Omicron.

Ketika ini, Moderna Inc dan BioNTech-Pfizer Inc sudah mula menjalankan kajian terhadap dos penggalak khusus untuk Omicron menggunakan vaksin masing-masing dalam kajian klinikal manusia.

Penyelidik vaksin Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional, Daniel Douek, yang juga antara ketua penyelidik dalam kajian itu, menyifatkannya sebagai berita yang amat baik.

"Ini bermakna kita tidak perlu mencipta semula vaksin ini secara radikal untuk menjadikannya sebagai vaksin Omicron," katanya.

Douek percaya ia disebabkan vaksin asal serta vaksin khusus untuk Omicron itu adalah 'reaksi silang', bererti ia boleh mengenal pasti pelbagai jenis varian berbeza.

Profesor mikrobiologi dan imunologi di Kolej Perubatan Weill Cornell, Dr John Moore, berkata keputusan itu adalah sama dengan beberapa kajian lain yang menguji dos penggalak Moderna yang menyasarkan varian Beta.

"Kita tunggu hasil kajian klinikal manusia pula. Data monyet secara amnya boleh diramalkan, namun kita tetap perlukan data manusia," katanya.

Menurut Moore, kelebihan kajian monyet adalah penyelidik boleh memberi dos penggalak dan menjangkitkan mereka dengan virus untuk melihat tahap tindak balas imun, yang tidak boleh dilakukan dalam ujian klinikal manusia. - AGENSI

Berita Harian X