Selasa, 1 Februari 2022 | 4:01pm
Elon Musk gagal untuk memujuk seorang remaja, Jack Sweeney supaya memadamkan satu program di sebuah laman sosial yang boleh mengesan pergerakan jet peribadinya. - Foto REUTERS
Elon Musk gagal untuk memujuk seorang remaja, Jack Sweeney supaya memadamkan satu program di sebuah laman sosial yang boleh mengesan pergerakan jet peribadinya. - Foto REUTERS

Tolak AS$5,000 supaya henti jejak pergerakan jet peribadi Elon Musk

WASHINGTON: Jutawan paling kaya di dunia, Elon Musk gagal untuk memujuk seorang remaja, Jack Sweeney supaya memadamkan satu program di sebuah laman sosial yang boleh mengesan pergerakan jet peribadinya baru-baru ini.

Sweeney yang berusia 19 tahun dari Florida turut menolak tawaran sebanyak AS$5,000 (RM20,927) daripada Elon Musk untuk memadamkan akaun Twitternya itu.

Musk mempunyai lebih 150,000 pengikut Twitter dan mereka menggunakan satu program di akaun Twitternya yang dikenali sebagai 'bot' untuk memantau penerbangan jet peribadi Musk.

Malah, Sweeney juga mengembangkan kira-kira berpuluh-puluh akaun program terbabit bagi mengesan penerbangan jutawan dan pakar teknologi lain termasuk Bill Gates dan Jeff Bezos.

Pertukaran mesej antara mereka berdua berlaku pada 19 Januari lalu.

Menurut Sweeney, beliau menjadi peminat syarikat penerbangan angkasa lepas SpaceX yang diasaskan oleh Musk yang mempunyai anggaran kekayaan lebih AS$240 bilion (RM1.05 trilion).

Bapanya bekerja untuk sebuah syarikat penerbangan, sekali gus menyemarakkan minatnya dalam bidang penerbangan.

Menurut Sweeney, bayaran itu dianggap tidak mencukupi buat dirinya.

Remaja itu turut menawarkan kepada Musk beberapa nasihat teknikal dan memberitahu jutawan terbabit mengenai program yang boleh menyekat penerbangannya itu daripada dapat dikesan.

Sweeney turut dilaporkan berkata, Musk kemudian menerima nasihatnya dan menggunakan program terbabit. - AGENSI

Berita Harian X