Sabtu, 29 Januari 2022 | 4:58pm
Kanye West. - Foto REUTERS
Kanye West. - Foto REUTERS

Kanye West perlu lengkap vaksin bagi konsert di Australia

MELBOURNE: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, menegaskan artis hip hop, Kanye West, perlu mendapat vaksinasi COVID-19 yang lengkap jika mahu mengadakan konsert di negara itu.

Penegasan itu dibuat susulan laporan media yang mengatakan selebriti Amerika Syarikat (AS) itu merancang untuk mengadakan persembahan di Australia pada Mac depan.

Morrison menegaskan peraturan di Australia menggariskan individu yang ingin ke negara itu mestilah lengkap di vaksin dan ia terpakai untuk semua pihak.

"Peraturannya adalah anda mesti lengkap

divaksin. Ia terpakai untuk semua orang, seperti yang kita lihat baru-baru ini.

"Tidak kisah siapa anda, itu adalah peraturannya. Patuhi peraturan ini dan anda boleh datang ke Australia. Jika tidak, anda tidak boleh datang," katanya pada satu sidang media.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar Sydney Morning Herald, yang memetik sumber industri, mengatakan West merancang untuk mengadakan konsert di stadium di Australia pada Mac depan.

Peringatan daripada Perdana Menteri Australia itu dibuat dua minggu selepas mahkamah mengekalkan keputusan kerajaan untuk membatalkan visa bintang tenis, Novak Djokovic, yang melanggar peraturan COVID-19 dan tidak divaksin.

Wakil West tidak memberikan sebarang komen buat masa ini ketika diminta mengulas perkara itu.

Status vaksinasi West, yang juga calon Presiden AS pada 2020, tidak diketahui ketika ini.

Dalam satu temu bual di media sosial tahun lalu, West memaklumkan sudah menerima satu dos vaksin, namun dalam temu bual pada 2020 dengan majalah Forbes, artis AS itu menyifatkan vaksin sebagai 'tanda binatang liar'.

Australia, yang mencatatkan kadar vaksinasi tinggi, kini masih bergelut dengan gelombang baharu COVID-19 sejak bulan lalu berikutan penularan Omicron, dengan kira-kira dua juta kes direkodkan dalam tempoh itu.

Sebelum gelombang Omicron, negara berkenaan hanya merekodkan kira-kira 400,000 kes sejak pandemik mula melanda dua tahun lalu. - AGENSI

Berita Harian X