Sabtu, 29 Januari 2022 | 1:18pm
Gempa bumi dengan kekuatan 6.4 magnitud melanda Kepulauan Kermadec, dekat wilayah utara New Zealand, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) semalam. -- Foto USGS
Gempa bumi dengan kekuatan 6.4 magnitud melanda Kepulauan Kermadec, dekat wilayah utara New Zealand, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) semalam. -- Foto USGS

Gempa bumi melanda Kepulauan Kemadec, New Zealand

NEW YORK: Gempa bumi dengan kekuatan 6.4 magnitud melanda Kepulauan Kermadec, dekat wilayah utara New Zealand, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) semalam.

Menurut USGS, gempa yang disemak semula daripada 6.6 magnitud awal berada pada kedalaman 10 kilometer (km).

Bagaimanapun, keadaan itu dijangka tidak akan mengakibatkan tsunami.

Sebelum ini, Tonga, negara jiran New Zealand pernah dilanda tsunami yang dicetuskan letusan gunung berapi dahsyat sehingga mengakibatkan kerosakan besar dan dilitupi debu.

Letusan yang tercetus 15 Januari lalu begitu kuat sehingga ia direkodkan di seluruh dunia dan menyebabkan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS).

Ombak besar melanda Tonga ketika itu, selepas letusan kuat gunung berapi yang turut dirasai negara jirannya, mencetuskan tsunami kedua di kawasan berkenaan dalam tempoh beberapa hari.

Berdasarkan imej cerapan satelit menunjukkan letusan panjang dan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai memuntahkan asap serta abu ke udara, dengan bunyi letusan kedengaran 10,000 km jauhnya di Alaska.

Ombak setinggi 1.2 meter membadai ke darat, di ibu negara Tonga dengan penduduk tempatan melarikan diri ke tempat lebih tinggi termasuk ada terpaksa meninggalkan rumah akibat ditenggelami air.

Ombak sekitar 1.2 meter turut melanda sepanjang pantai Pasifik Jepun. - REUTERS

Berita Harian X