Jumaat, 28 Januari 2022 | 6:36am
 Foto hiasan - EPA
Foto hiasan - EPA

Australia lulus dos penggalak COVID-19 untuk remaja 16-17 tahun

SYDNEY: Pengawal selia ubat-ubatan Australia pada Jumaat meluluskan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun ketika pihak berkuasa menggesa orang ramai mendapatkan dos ketiga segera bagi mengurangkan ancaman varian Omicron.

Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA) berkata ia meluluskan vaksin Pfizer untuk remaja berusia 16 hingga 17 tahun, sekali gus menyertai Amerika Syarikat (AS), Israel dan Britain dalam mengambil tindakan sama.

Australia antara negara yang paling tinggi kadar vaksinasi COVID-19 dengan lebih 93 peratus populasi dewasanya melengkapkan dua dos dan kira-kira 35 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas menerima dos penggalak, menurut data rasmi.

Negara itu mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 5-11 bermula awal bulan ini.

TGA berkata kumpulan penasihat vaksin negara tidak lama lagi akan memberikan maklumat lanjut mengenai bila kumpulan umur 16 dan 17 layak menerima dos penggalak mereka.

Omicron meningkatkan kes jangkitan Australia kepada kira-kira 2.4 juta, dengan kira-kira dua juta dikesan dalam tempoh empat minggu lalu.

Sebanyak 3,402 kematian direkodkan di negara itu sejak pandemik bermula, jauh lebih rendah daripada jumlah yang dilihat di banyak negara yang setanding.

Australia melaporkan 59 kematian akibat COVID-19 pada Khamis, sehari selepas merekodkan kes tertinggi sebanyak 87 kematian, manakala kes kemasukan ke hospital kekal stabil. - REUTERS

Berita Harian X